Kedai runcit milik warga emas dirempuh Persona

Aishah mengemas barang runcit yang bertaburan akibat rempuhan kereta.

Alor Setar, 28 Mei – Sebuah kereta Persona dipercayai dipandu dengan laju telah merempuh sebuah kedai runcit di Batu 5, Sungai Batu Gunung di sini awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi itu menyebabkan pemilik kedai bergegas keluar setelah mendengar satu bunyi rempuhan yang kuat di bahagian hadapan kedainya.

Menurut Mat Isa Man, 74, ketika kejadian berlaku dia bersama isterinya Aishah Mat Akhir, 72 sedang tidur di bahagian belakang kedai yang dijadikan sebagai kediaman mereka.

“Saya tutup kedai pada jam 9.30 malam dan tidur lena kira-kira jam 11.30 malam . Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi rempuhan yang kuat.

“Saya bergegas keluar dan terkejut apabila sebuah kereta tersadai selepas merempuh bahagian hadapan kedai,” katanya ketika ditemui semalam.

Pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecerderaan tetapi terpaksa dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian kerana terperangkap dalam kenderaan itu.

Satu laporan telah dibuat oleh Mat Isa mengenai kejadian yang berlaku di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar semalam. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor