TELUK INTAN – Calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk
Intan, Dyana Sofya Mohd Daud terus enggan menjawab berhubung
pendiriannya tentang isu hukum hudud.
Ketika diasak dengan soalan sama oleh pemberita tentang perkara itu
hari ini dalam sidang akhbar di Pusat Operasi Utama DAP di Bandar Baru
Teluk Intan di sini, peguam berusia 27 tahun itu berkata:
“Apa yang anda mahu, saya telah buat kenyataan saya mengenai hudud
dan saya ingin berbincang isu lain. Kita sekarang ini fokus hanya nak
menang pilihan raya”.
Malah anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin
Shah Raja Ahmad daripada PAS turut dibawa untuk membicarakan tentang
pelaksanaan hukum hudud.
“Kami bersikap agak terbuka untuk menilai lebih mendalam (hudud),
kerana ia perlu distruktur dengan betul dan diguna pakai dalam konteks
yang betul,” katanya.
“Kami tidak terburu-buru untuk mencadangkannya kerana dalam Islam
tidak ada paksaan. Lebih baik berhati-hati daripada tergesa-gesa
melakukan sesuatu yang masih belum bersedia sepenuhnya. Kami tidak akan
terburu-buru, tetapi tetap berpegang dengan prinsip itu,” katanya.
Sementara itu, Dyana Sofya yang membangkitkan isu tentang wanita
turut membawa Presiden Persatuan Wanita Perak Untuk Wanita (PWW) Dr
Sharifah Halimah Jaafar untuk membantu menjelaskan mesej yang ingin
dibawanya.
PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu
antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.
Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan 31 Mei.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi
Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei
lepas.