Kisah menarik: Imam Abu Hanifah dengan kanak-kanak

Maqam Imam Abu Hanifah RA.
Imam Abu Hanifah merupakan seorang ulama tersohor dan mengasaskan salah satu mazhab muktabar, mazhab Hanafi, yang menjadi salah satu rujukan sumber hukum-hakam Islam menerusi Sunnah Wal Jamaah.

Imam Abu Hanifah RA pada suatu hari ketika beliau sedang berjalan, tiba-tiba ternampak olehnya seorang kanak-kanak sedang berjalan dengan memakai kasut kayu, lantas menegur budak tersebut dengan rendah diri.

"Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti" tegur beliau.

Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian Imam Abu Hanifah kepadanya dan mula bertanya soalan pada beliau.

"Wahai Tuan, siapakah nama tuan?" soal budak itu. 

"Namaku Nu'man" jawab Imam Abu Hanifah.

"Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A'dzam ( Imam Yang Sangat Hebat) itu?" balas budak itu bertanya kembali kepada Imam Abu Hanifah.

"Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku meletakkannya" jelas tokoh Islam itu.

"Wahai Imam, janganlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia semata-mata.. 

"Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah taala lantaran angkuh dan berbangga-bangga" kata budak yang masih kecil itu.

Menangis Imam Abu Hanifah RA mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut. 

Demikianlah kisah di antara tokoh ilmuwan Islam silam, ulama terkenal Imam Abu Hanifah RA dengan seorang kanak-kanak yang mungkin kita anggap sebagai masih "hingusan".

Semoga kisah ini menjadi taudalan kepada kita, umat di akhir zaman ini. Wallahu'alam-KedahNews.com