Ramai yang menganggap tinggal di bandar-bandar besar sebagai hebat, maju, "up-todate", "trendy" dan dipandang tinggi. Bergaji besar melebihi RM2,500 sebulan membuatkan segelintir mereka begitu "gah" apabila pulang ke kampung halaman, khususnya pada musim perayaan.
Sedar atau tidak, pendapatan sebanyak RM2,800 sebulan dan tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur atau Johor Baharu sebenarnya layak dianggap sebagai "miskin bandar" yang semakin tinggi bilangannya.
Sepotong kuih atau sehiris pisang goreng di bandar-bandar besar seperti itu mencecah harga 40 sen hingga 60 sen sebiji. Malah jika potongan kuih itu sedikit besar atau sedap rasanya, mungkin harganya akan mencecah RM1 sepotong!
Perkara sedemikian mungkin sangat berbeza jika dibandingkan dengan suasana kehidupan di negeri Kedah di mana kos sara hidupnya masih rendah dan kurang tekanan apabila berbelanja.
Misalnya, sepasang suami isteri yang berniaga kuih-muih di Kampung Simpang Tiga Karangan, Kulim, Kedah, masih mampu untung meskipun meletakkan harga semurah 10 sen bagi 15 jenis kuih muih mereka.
Pasangan tersebut yang dikenali sebagai Musa dan Sarifah lebih mengutamakan kepuasan hati pelanggan mereka dalam strategi perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan.
Peliknya, perniagaan mereka tidak "gulung tikar" dengan harga serendah itu.
Sedangkan, sekiranya kita bertanya pada peniaga-peniaga di bandar-bandar besar, alasan yang mereka berikan ialah "biasalah kak, harga barang naik tinggi sangat" untuk menjustifikasikan harga kuih mereka.
Kata mereka, gerai mereka akan "bankrap" jika mereka kekalkan harga kuih pada 20 sepotong!
Berlainan benar keadaannya dengan Musa dan Sarifah di Kulim. Mereka masih mampu mengaut untung dengan kuih-muih berharga rendah dan lebih membanggakan, kuih muih mereka sedap rasanya!
KedahNews.com mengucapkan syabas dan tahniah pada Musa dan Sarifah atas sikap mereka yang pandai berniaga meskipun ramai pihak yang sering menyalahkan kerajaan, pemborong atau pihak lain dalam memberi alasan untuk menaikkan harga barang jualan mereka.
Anda pilih tinggal di mana? Kedah? Kuala Lumpur atau Johor Baharu? -KedahNews.com