"Laluan Maut" di Kuala Kedah


Thana (kanan) dan Rosli menunjukkan laluan kecemasan yang sering digunakan pengguna jalan raya.

Kuala Kedah, 25 Mei – Sikap segelintir penguna jalan raya yang sering menggunakan laluan kecemasan di Batu 6 Jalan Kuala Kedah berhadapan Masjid Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj sebagai alternatif untuk melakukan pusingan U di sini seolah-olah seperti mahu mencari maut.

Laluan kecemasan yang disediakan khusus untuk laluan ambulans di salah gunakan oleh pengguna jalan raya yang lain sebagai jalan pintas untuk melakukan pusingan U sedangkan laluan yang sedia ada untuk mereka tidak digunakan dengan betul.

Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah, Thana Chew Ne Meng berkata, tindakan pengguna itu sebenarnya boleh mengakibatkan kemalangan maut berlaku di kawasan tersebut.

“Kemalangan kerap berlaku tanpa mengenal masa. Malah, enam kemalangan maut dikawasan sama berlaku tahun lalu kerana kedegilan pengguna.

“Bayangkan, kami lihat sendiri dua kereta dan lebih 20 motosikal membuat pusingan U di laluan kecemasan terbabit dalam tempoh 20 minit sahaja. Lori ais pun ada,” katanya lagi.

Salah seorang penduduk tempatan, Rosli Yahcop, 47,  berkata jarak untuk pengguna melakukan pusingan U hanya 300 meter dari laluan kecemasan yang sering mereka gunakan.

“Sedangkan, pusingan U boleh dibuat 300 meter (m) dari laluan kecemasan berkenaan. Begitu juga, satu pusingan U menghala ke bandaraya Alor Setar,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka merayu kepada pihak berkuasa supaya menutup terus laluan ini atau menyediakan palang  berkunci untuk kegunaan kenderaan yang dikhaskan melalui laluan berkenaan  bagi mengelakkan sebarang kemalangan maut yang kerap kali berlaku di sini.

Ini jelas menunjukkan sikap para pengguna  jalan raya di sini lebih mementingkan diri mereka sendiri tanpa menghirau kesan yang akan berlaku sekiranya terbabit dalam kemalangan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor