Lawatan Najib ke China bawa "durian runtuh" untuk belia

KUALA LUMPUR, 27 Mei - Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama seminggu ke China mulai hari ini akan menjana faedah limpahan melalui peluang-peluang yang bertambah bagi belia Malaysia untuk mengambil bahagian dalam perdagangan dua hala dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Anggota Parlimen bagi Sekijang, Johor merangkap Ketua Biro Hal Ehwal Luar Bandar Belia UMNO, Anuar Manap, berkata lebih banyak peluang keusahawanan akan diwujudkan kerana belia boleh mendapatkan barangan dan produk dengan lebih murah dari China dan menjualnya di Malaysia.

Ini khususnya kerana China mempunyai penduduk Islam yang hampir sama saiznya dengan penduduk Malaysia. Daripada 56 suku kaum yang diiktiraf di China, 10, mengikut sejarah, merupakan umat Islam, berjumlah kira-kira 25 juta kesemuanya.

"Ini adalah lawatan bersejarah oleh Najib ke China, yang menandakan 40 tahun hubungan dua hala yang bermula apabila ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein, memeterai hubungan diplomatik dengan China pada 1974.

Kini, selepas 40 tahun, anaknya pula memperkukuh hubungan dua hala dan antara rakyat dengan rakyat yang telah terlebih dahulu diasaskan oleh ayahandanya. Ini benar-benar bersejarah," katanya dalam satu wawancara.

Lawatan Najib ini diadakan di tengah-tengah keghairahan yang tercetus di Malaysia ekoran ketibaan sepasang panda gergasi dari China yang dipinjamkan selama 10 tahun sempena ulang tahun keempat puluh lawatan Tun Razak, manakala tahun 2014 dikenal pasti sebagai "Tahun Persahabatan" bagi Malaysia dan China.

Najib melawat pasangan panda gergasi itu di kurungan khas di Zoo Negara Ahad lepas.

Anuar, yang terlibat dalam Pesta Belia Putrajaya yang berlangsung baru-baru ini, berkata: "Kerjasama yang sedia wujud dengan sebuah ekonomi yang dinamis dan berkembang pesat itu akan membawa kesan limpahan ekonomi yang positif kepada Malaysia".

"Ia adalah petanda baik bagi 40 tahun akan datang kerana China kelihatan hampir pasti akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar di dunia".

Pada pandangannya, lawatan Perdana Menteri ke China itu akan membawa kesan lelehan yang "amat baik" kerana program-program keusahawanan yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia akan membantu belia meneroka peluang perniagaan dengan cara terlebih dahulu bertapak di negara sendiri dan lama kelamaan mereka akan bersedia untuk berurus niaga dengan China.

China ialah rakan dagang terbesar bagi Malaysia sejak 2009.

Sejak lima tahun berturut-turut, nilai dagangan berjumlah US$100 bilion (RM321.5 bilion). Malaysia juga adalah rakan dagang terbesar China dari kalangan negara-negara Asean sejak lima tahun berturut-turut.

Pada 2013, jumlah dagangan Malaysia dengan China bernilai RM202.23 bilion, dan ini merupakan peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding 2012. Ia menyasarkan perdagangan dua hala mencapai jumlah US$160 bilion (RM511 bilion) menjelang 2017.

Hari ini kalangan perniagaan Malaysia mendapat laluan yang lebih mudah kepada perdagangan dan pelaburan dengan rakan seniaga mereka di China. Kini mereka boleh menggunakan Hong Kong sebagai pangkalan untuk memanfaatkan rangkaian kukuh yang sedia wujud dengan China, Jepun dan Korea Selatan.

Satu lagi laluan ialah Persetujuan Perkongsian Ekonomi Erat (CEPA) China dan Hong Kong sejak 2004 yang membolehkan semua produk yang berasal dari Hong Kong diimport ke tanah besar tanpa tarif.

Konsep satu negara dua sistem ini menarik kerana ia membolehkan syarikat Malaysia mengambil kesempatan daripada pertumbuhan ekonomi China di samping memanfaatkan perkhidmatan kewangan dan guaman Hong Kong sebagai sebahagian daripada batu loncatan ke tanah besar.

Ini mencambahkan satu arah aliran yang menyaksikan konglomerat Malaysia menambah pelaburan mereka di China, antaranya Parkson, Sime Darby dan Maybank.

Beberapa pengumuman penting selanjutnya oleh Malaysia dan China boleh dijangkakan di Beijing dan menjadikan lawatan Najib itu sebagai satu mercu tanda seperti juga lawatan ayahanda beliau 40 tahun lalu.

-- BERNAMA