LUPAKAN HUDUD, PAS GESA MELAYU UNDI DAP?

TELUK INTAN, 14 MEI : Pilihanraya Kecil Teluk Intan yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini kini sudah mula terasa bahangnya dengan pelbagai spekulasi calon yang akan bertanding kelak.

Melihat kepada kejayaan DAP sebelum ini di Parlimen tersebut, jentera PAS Perak kini sudah bersedia untuk membantu rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kemenangan tersebut

Dalam satu sidang media semalam, Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Mohd Anuar Sudin berkata bahawa pihak PAS dengan relanya akan membantu DAP mencapai kemenangan di PRK nanti.

Mohd Anuar turut berkata bahawa DAP bukannya parti yang anti Melayu seperti mana yang didakwa oleh UMNO dan menyeru pengundi-pengundi Melayu memberi undi kepada parti tersebut agar kebajikan Melayu di kawasan ini akan terbela.

"PAS akan memulakan gerak kerja awal sebaik saja calon diumum untuk memberi penerangan pada pengundi dan menangkis fitnah UMNO bahaya DAP anti-Melayu sekaligus memenangkan DAP agar penduduk khususnya Melayu disini mendapat pembelaan sewajarnya",ujar beliau.

Sementara itu,Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak Khairul Anuar Ismail menegaskan bahawa pengundi Melayu disini tidak usah terpedaya dengan polemik hudud yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

“Hudud ini sememangnya bukan agenda Pakatan, tapi persendirian, dan kita akan lebih mengfokuskan kepada isu Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan beberapa janji yang masih belum ditunaikan oleh kerajaan", ujar Khairul.

Merujuk kepada PRK Teluk Intan,Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 31 Mei, proses penamaan calon 19 Mei manakala pengundian awal pada 27 Mei ini.- UtaraNews.com