Maklumat mengenai MH370 mungkin disembunyikan – Tun M


Kuala Lumpur, 18 Mei – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan keyakinan berhubung fakta yang mungkin disembunyikan mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau menyuarakan rasa tidak puas hati di dalam penulisannya di dalam blog www.chedet.cc, hari ini dan menyalahkan pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin sengaja menyembunyikan fakta mengenai kehilangan pesawat berkenaan sehinggakan menyebabkan MAS dan Malaysia terus dikritik oleh media serta negara luar berhubung kejadian yang berlaku.

“Ada pihak yang sedang menyembunyikan sesuatu, tidak adil kerana MAS dan Malaysia yang kini menerima segala tuduhan.

“Pesawat itu ada di satu lokasi, kemungkinan besar tanda-tanda ia milik MAS seperti logo MAS sudah pun tiada,” katanya dalam blog berkenaan.

Menurut beliau lagi, tindakan mencari pesawat berkenaan sebagai satu perbuatan yang membuang masa dan wang kerana percaya kehilangan pesawat ini merupakan satu perkara yang sangat luar biasa.

Beliau turut memetik satu laporan yang dikeluarkan laman web Flightglobal.com berkenaan satu paten sistem anti-keganasan yang membolehkan pesawat didaratkan secara automatik sekiranya sesebuah pesawat penumpang dirampas.

Menurut artikel yang ditulis oleh John Croft, pesawat boeing boleh diterbangkan dari darat.

Dalam artikel itu juga menjelaskan boeing boleh menerima paten untuk satu sistem yang jika diaktifkan akan membolehkan pihak di darat mengambil alih semua kawalan pesawat sedang terbang dan secara automatik akan mendaratkan pesawat tersebut ke landasan yang tertentu.

Sistem itu boleh diaktifkan oleh juruterbang, sistem pengesan atau dari alat kawalan jauh dengan menggunakan radio atau satelit oleh agensi risikan kerajaan seperti Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) jika dikesan ada cubaan pengganas mengawal pesawat itu.

“Saya tidak boleh membayangkan seorang juruterbang melakukan pendaratan di dalam air secara sempurna kemudian secara senyap tenggelam bersama-sama pesawat itu.

“Atas sebab tertentu, media tidak akan mengeluarkan laporan yang menyebut tentang Boeing dan CIA, saya harap pembaca blog ini akan menyedarinya,” kata beliau lagi.

Selain itu, Dr Mahatihir juga meminta pihak Boeing supaya menjelaskan mengenai sistem ini. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor