MAS "hilang" 300 kru kabin


Petaling Jaya – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa menanggung kerugian bernilai RM30 juta dari segi kos latihan dalam tempoh 2 tahun apabila hampir 300 kru kabinnya mengambil keputusan untuk meletak jawatan.

Kira-kira seramai 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugara dan pramugari (80), dan 30 juruterbang menamatkan khidmat mereka di syarikat tersebut.

Kebanyakkan kru kabin meletak jawatan disebabkan faktor syarikat penerbangan itu gagal memberi kebajikan kepada kakitangannya sejak 3 tahun yang lalu. 

MAS juga dilaporkan sudah beberapa tahun gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan bercuti bersama keluarga juga dihapuskan serta terpaksa menanggung bebanan kerja yang banyak akibat kekurangan kakitangan.

Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak berminat untuk terus berkhidmat bersama MAS serta ada dikalangan mereka mendapat tawaran lebih baik tanpa mengambil kira sumbangan syarikat tersebut yang membiayai sepenuhnya latihan mereka bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Maklumat yang diperolehi menunjukkan MAS memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya yang mencecah RM200,000 untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama 2 tahun serta RM190,000 pula untuk melatih jurutera dalam tempoh 5 tahun.

Selain itu, kos bagi melatih juruteknik pula dianggarkan bernilai RM75,000 dalam tempoh dua tahun manakala bagi pramugara dan pramugari tempoh latihan sepanjang 4 bulan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50,000 seorang.

Jumlah gaji yang tinggi ditawarkan oleh syarikat lain menyebabkan kakitangan yang berkhidmat di MAS tidak mampu menolak tawaran yang diberikan kepada mereka. 

Menurut sumber lain, syarikat penerbangan lain seolah-olah mempunyai sindiket di dalam syarikat MAS apabila setiap kakitangan terbabit yang menamatkan latihan, sudah ada tawaran kerja yang ditawarkan oleh syarikat lain dengan gaji yang sangat tinggi.

Selain itu, tragedi kehilangan pesawat MH370 dilihat akan memberi kesan kepada kakitangan MAS kerana syarikat berkenaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.7 bilion dan situasi itu pastinya akan memberikan kesan kepada kakitangan syarikat pernerbangan berkenaan.

“Jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh masa yang lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan cuti. 

“Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan dari segi mental terutamanya terpaksa berjauhan dalam tempoh masa yang lama dari keluarga,” kata seorang kru kabin yang enggan namanya disiarkan baru-baru ini.

“Kalau bukan kerana tragedy MH370 pun, semangat kerja dikalangan kru kabin sebenarnya sudah lama luntur sejak 3 tahun yang lalu,” katanya lagi.

Sehingga kini, pihak MAS masih belum memberi apa-apa komen mengenai situasi yang sedang berlaku. –KedahNews.com