Mayat terbujur kaku ditemui di Pantai Bersih


Butterworth, 18 Mei – Suasana tenang di kawasan tarikan pelancong di Pantai Bersih hari ini bertukar gempar apabila mayat seorang lelaki berketurunan India ditemui di belakang restoran makanan laut di persisir pantai tersebut, disini.

Mayat B.Muniandy, 37, ditemui pada jam 11 pagi hari ini dalam keadaan terbaring dan dipercayai telah dibunuh sebelum ditinggalkan berdekatan kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, hasil daripada pemeriksaan awal menemui beberapa kesan luka di dahi dan jari, lebam di dada serta rusuk kanan mangsa. 

"Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa mati sejak enam jam lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. 

Lelaki berkenaan dipercayai masih bujang dan tinggal bersama keluarganya di Flat Pantai Bersih iaitu kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya lagi, lelaki tersebut mempunyai satu rekod kesalahan berkaitan dadah.

"Polis juga menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya lagi.

Mayat lelaki tersebut dilaporkan telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk urusan bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor