Antara perkara pertama yang ditegaskan oleh Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman, ketika memulakan tugas sebagai Menteri Besar Terengganu pagi tadi ialah berhubung status tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilaporkan kini berstatus "ADUN Bebas".
Tegas beliau, ketiga-tiga ADUN yang dikatakan kini bergelar "ADUN Bebas" itu masih rasmi sebagai ADUN Barisan Nasional (BN), meskipun sudah mengisytihar diri secara lisan untuk keluar parti dua hari lepas, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
"Ya, semuanya lagi termasuk YB Datuk Seri Ahmad
Said (masih kekal) sebab belum rasmi lagi (mereka keluar Umno),"
katanya apabila ditanya status keanggotaan tiga wakil rakyat tersebut.
Selain itu, Menteri Besar itu juga menjelaskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd Zubir Embong, masih lagi belum menerima apa-apa surat dari ketiga-tiga ADUN yang dilaporkan meletak jawatan itu.
"Setakat saya difahamkan, kita belum dimaklumkan. Pihak YB Speaker belum menerima apa-apa (surat rasmi), jadi saya beranggapan (peletakan jawatan) itu belum ada kesahihan lagi." ujarnya pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri Besar.
Kemelut politik tercetus di Terengganu ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dua hari lalu.
Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar yang baharu.
Berikutan itu, Ahmad yang juga Adun Kijal; Ghazali Taib, Adun Ajil;
dan Roslee Daud (Bukit Besi) keluar daripada Umno dan menjadi wakil
rakyat Bebas semalam.
Bagaimanapun, Roslee menarik balik surat perletakan jawatan dan keluar parti, seterusnya kekal sebagai ADUN BN. -KedahNews.com