Motorsikal Terbalik Berentap Dengan Peragut

Foto

Gombak, 29 Mei – Dua wanita mengalami kecederaan selepas bergelut dengan dua lelaki dalam satu kejadian ragut di persimpangan lampu isyarat di Greenwood kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika kedua-dua mangsa yang berusia 20-an menunggang sebuah motosikal berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah sebelum dua orang lelaki secara tiba-tiba cuba merampas beg tangan rakan mangsa yang membonceng di bahagian belakang.

Akibat dari tindakan itu, mangsa yang enggan melepaskan beg tangan miliknya terus bergelut dengan suspek menyebabkan motosikal yang ditunggang oleh rakan mangsa terbalik disebabkan hilang kawalan.

Kedua-dua mangsa yang jatuh mengalami kecerderaan yang agak serius. Wanita yang menungang motosikal dipercayai patah tangan dan rakannya yang bergelut dengan peragut dalam kejadian mengalami cedera di muka, tangan dan lutut.

Menurut seorang saksi kejadian, dua orang suspek panik apabila kedua mangsa itu terjatuh bertindak melarikan diri tanpa sempat merampas beg tangan milik mangsa.

“Lelaki terbabit yang panik melihat kejadian itu terus memecut laju tanpa sempat merampas beg tangan itu.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal itu patah tangan kiri dan cedera di muka sementara mangsa yang membonceng turut mengalami kecederaan di muka, tangan dan lutut,” kata saksi yang enggan namanya didedahkan.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk menjalani rawatan dan polis akan menyiasat berhubung insiden yang berlaku. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor