GEORGETOWN – Ramkarpal Singh Deo
tidak berhak mewakili DAP untuk membuat kenyataan berhubung hukum
hudud, kata calon Bebas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor
Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat pasar Taman Tun Sardon,
Gelugor di sini hari ini, Mohamed Nabi Bux berkata ini kerana Ramkarpal
tiada jawatan dalam parti selain jangka masa keanggotaannya dalam DAP
juga dipersoal anggota parti itu sendiri.
Mohamed Nabi Bux berkata demikian bagi membidas kenyataan Ramkarpal
Singh baru-baru ini bahawa beliau mempunyai pendirian sama dengan
mendiang bapanya Karpal Singh dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum
hudud di negara ini.
Mohamed Nabi Bux juga mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng secara
sulit menyokong penuh pelaksanaan hukum hudud di Kelantan demi
kepentingan politiknya di negeri ini.
Walaupun Lim sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri menolak
pelaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang, Mohamed Nabi Bux mendakwa ketua
menteri itu secara sulit menyokong hukum hudud demi mengambil hati
pemimpin PAS.
Ditanya bila Lim menyatakan sokongannya terhadap hukum hudud, Mohamed
Nabi Bux berkata:
“Dia tidak akan beritahu saya atau rakyat, beliau akan beritahu pemimpin PAS. Ini semua kepentingan politik. Dia memang setuju, saya tahu dia 100 peratus setuju…secara sulit, (kerana) politik dia mesti setuju.”
Sementara itu, Mohamed Nabi Bux berkata beliau bersedia untuk
dihadapkan ke Lembaga Disiplin PAS sekiranya Ketua Penerangan PAS Datuk
Mahfuz Omar berhasrat mengambil tindakan terhadapnya.
“Kalau (Datuk) Mahfuz nak bawa saya ke lembaga disiplin parti saya tak gentar, dipersilakan,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal
menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamed Nabi Bux dan
Ramkarpal Singh serta calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng
Guan dan calon bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan. – BERNAMA