Komen mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap Dyana
Sofya Mohd Daud menjadi calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan telah
dijawab sendiri oleh ibunya, Yammy Samad yang merupakan orang kuat UMNO di Perak sebelum ini.
Yammy berkata beliau sehabis daya mahu Dyana mengikut jejak langkah
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir tetapi apakan daya
perawakan anaknya itu lebih mirip kepada anak sulung Dr. Mahathir sendiri, Datin Paduka Marina Mahathir.
"Saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz, tetapi apabila dia dah besar.. dia jadi Marina.
"Saya beri kebebasan pada anak saya untuk pilih mana baik dan mana
buruk. Dia sudah dewasa dan dah boleh fikir,” katanya pada media ketika turun padang bertemu pengundi, semalam.
Semalam, media arus perdana melaporkan mantan Perdana Menteri itu meluahkan kecewanya apabila
calon yang diletakkan DAP itu datang dari keluarga yang pernah menyokong UMNO sejak sekian lama.
"Kalau datang daripada keluarga pembangkang tidak jadi apa. Kerana sejak kecil diajar membenci UMNO.
"Kalau anak orang UMNO, depa tidak cakap pada anak depa pasal apa UMNO
ni ada sejarah UMNO semua, jadi bila dia besar dia bebaslah hendak buat
apa sahaja," kata negarawan ulung.
Yammy berkata anak gadisnya itu berhak menentukan haluannya sendiri, meskipun dalam soal memilih calon suami yang bukan daripada kalangan Melayu.
Kata Yammy lagi, tidak guna dia memaksa Dyana untuk membuat sesuatu perkara jika
semua yang diusahakan anaknya itu nanti akan bertemu kegagalan.
"Saya beri dia kebebasan untuk memilih. Kalau dia hendak pilih suami pun saya bebaskan, inikan pula memilih parti.
“Dia nak kahwin, terpulanglah pada dia. Dia hendak kahwin dengan
Melayu, Cina atau India jika bersesuaian. Kalau saya paksa, berakhir
dengan kegagalan buat apa?” katanya lagi.
Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan pada anaknya yang menyertai DAP kerana parti itu bukan eksklusif untuk masyarakat Cina sahaja.
Tambahnya, Dyana dilahirkan sebagai orang Islam dan akan terus kekal ke akhirnya berada dalam agama itu berdasarkan akidah yang sama.
"Kenapa pula jauh daripada Islam? Anak saya dilahirkan Islam. Dia akan selama-lamamanya Islam.
"Pasal apa hendak lari (akidah)? Dalam DAP bukan semuanya Cina. Macam-macam agama ada,” katanya lagi membidas komen mantan Perdana Menteri itu mengenai anaknya.
Selain itu, Yammy juga positif bahawa anaknya itu akan memperjuangkan bangsa Melayu menerusi DAP sekiranya diizinkan Allah.
"Insyaallah.," jawabnya pendek.
Mengulas mengenai sokongan orang Melayu terhadap Dyana, ibu kepada calon DAP itu menegaskan bahawa
penduduk di kawasan itu lebih gemar menyatakan sokongan secara diam
seperti menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.
"Sokongan dalam diam mereka melalui e-mel, hantar SMS beribu. Saya takut telefon saya meletup,” katanya kepada media. – KedahNews.com