OpsTitik: Bongkar "Rahsia" Tauke Stesen Minyak!

Baling, 26 Mei – Seorang lelaki berjaya ditahan pihak berkuasa ketika sedang mengisi minyak diesel ke dalam tiga tong dram dipercayai untuk diseludup dalam satu Operasi Titik yang dijalankan di stesen minyak di Kuala Ketil jumaat lalu.

Ketika ditahan lelaki itu memberi alasan membeli minyak dalam kuantiti yang banyak itu adalah untuk kegunaan pertanian tetapi helah itu tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Baling Fadzil Hasan berkata, siasatan awal mendapati setiap tong yang mampu dimuatkan 200 liter minyak diesel itu dipercayai untuk dijual dan bukan untuk kegunaan sendiri.
“Berdasarkan soal siasat, lelaki berasal dari luar daerah ini mengaku membeli diesel di stesen minyak itu saja dan dipercayai berpakat dengan pemilik stesen minyak terbabit.
“Berikutan itu, kita merampas semua tong dram mengandungi 600 liter diesel bernilai RM11,200 termasuk nilai lori terbabit, selain mengambil tindakan pengusaha stesen minyak terbabit kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia (PBM),” katanya mengulas kejadian yang berlaku.
Pihak KPDNKK akan sentiasa memantau dan menjalankan serbuan terhadap pembeli dan pengusaha minyak sekiranya mereka melanggar arahan PBM bagi membendung masalah penyeledupan minyak yang semakin berleluasa ketika ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor