Padah merempit di Kedah...dapat "habuan"

ALOR SETAR - Cubaan seorang remaja meloloskan diri dalam Ops Cantas Trafik yang diadakan berhampiran Kota Marina, Kampung Padang Garam, Kuala Kedah, malam kelmarin, mengundang padah apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh seorang anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, suspek berusia 19 tahun itu turut cedera di bahagian badan dan kaki selepas merempuh sekatan dan turut merempuh sebuah kenderaan polis.

Difahamkan, kawasan berkenaan sering dijadikan litar mat rempit untuk berlumba haram dan menunjukkan kehebatan motosikal masing-masing sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

Inspektor Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Othman Abdullah berkata, pihaknya membuat operasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, laluan sepanjang kira-kira 900 meter di kawasan berkenaan dijadikan lokasi berlumba di kalangan mat rempit dengan membuat beberapa kali pusingan untuk menentukan kemenangan.

“Mereka juga melakukan aksi-aksi berbahaya yang mempamerkan gelagat samseng jalanan sehingga menakutkan pengguna lain. Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun.

“Hasil operasi kali ini, sebanyak 154 motosikal diperiksa kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal dan tidak memakai topi keledar,” katanya.

Tambah beliau,  daripada jumlah itu sebanyak 50 motosikal disita dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Kita juga mengeluarkan 78 saman kepada penunggang motosikal terbabit di atas pelbagai kesalahan mengikut peruntukkan undang-undang Kaedah Lalu lintas Jalan 1959.

“Manakala seorang suspek yang ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menunggang secara melulu dalam keadaan berbahaya. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, polis yang dirempuh mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan mendapat rawatan kecemasan sahaja. 

Sumber: SH