Pelajar belasah guru hingga pecah bibir berdarah!

Bagi sesetengah ibubapa, anak mereka "sangat baik", berakhlak mulia dan sangat baik budi pekerti tingkah lakunya. Dan sekiranya anak mereka dikatakan nakal di sekolah, maka mereka akan sifatkan ia sebagai perkara biasa.

Namun jika mereka dipanggil ke sekolah disebabkan anak mereka bertindak melampau atau luar batasan, ada yang malas untuk hadir ke sekolah untuk bertemu guru walau dipanggil. 

Kalau mereka hadir pun, selalunya mereka akan pertahan anak mereka habis-habisan dan sering menuduh guru di sekolah tersebut bersikap tidak adil, sengaja menganiaya anak mereka atau sengaja "buat-buat cerita".

KedahNews.com tidak menuduh semua ibubapa begitu. Namun wujud segelintir dari mereka yang bersikap sedemikian.

Di zaman ini, sekiranya para pelajar menimbulkan masalah di sekolah, guru-gurulah yang sering dipersalahkan. Sama ada ibubapa mahupun Kementerian Pelajaran, selalunya mereka akan menuding jari kepada pihak guru terlebih dahulu.

Kononnya guru-guru tidak penyayang, tidak kreatif mendidik, tidak faham naluri pelajar yang masih mentah dan pelbagai tuduhan diberikan pada individu yang mencurahkan ilmu pada anak-anak mereka.

Kadangkala, ada yang guru gugur kandungannya kerana diterajang anak murid. Ada kes yang melihat guru dikecam hebat meskipun dia hanya merotan pelajar mereka di tapak tangan kerana tidak membuat kerja sekolah.

Para pelajar sekarang ramai yang berani memaki hamun guru di belakang mahupun secara berdepan. Paling "hebat", ada guru yang berdarah-darah hidung dan bibir dikerjakan anak-anak ibubapa yang "baik-baik" belaka itu.


Contohnya kes terbaru yang dikatakan berlaku di Kulai, Johor. Khabarnya seorang pelajar tingkatan 2 bertindak memukul seorang guru lelaki sehingga bibirnya pecah berdarah hanya disebabkan guru itu menegur pelajar terbabit membuat bising di surau sekolah.

KedahNews.com yakin, insiden ini akan mencetus perdebatan hangat dan berkemungkinan besar ada pihak yang akan cuba menuding jari, menyalahkan pihak tertentu. 

Siapakah yang bersalah? Pihak guru dan sekolah? Kementerian Pelajaran dan sistem yang dilaksanakan? Atau ibubapa yang sepatutnya mendidik anak mereka sejak "rebung" lagi? Wallahu'alam. -KedahNews.com