Mungkin bagi sesetengah pihak menganggap kejadian buli di sekolah
khususnya sekolah menengah merupakan satu kejadian biasa biarpun ia sepatutnya
tidak berlaku di pusat pendidikan apatah lagi tempat menimba ilmu.
Namun, laman siber sejak kebelakangan ini digemparkan dengan penyebaran tiga keping foto seorang pelajar perempuan dibuli oleh pelajar lain dengan cara yang cukup mengaibkan!
Malah perbuatan itu turut dirakam dan disebarkan secara meluas tanpa rasa bersalah atau berfikir panjang tentang akibat perbuatan tersebut.
Laman KedahNews.com bagaimanapun tidak mengetahui lokasi kejadian berkenaan dan juga punca ia berlaku. Namun insiden seperti ini membuat KedahNews.com agak khuatir dengan masa depan generasi muda yang semakin teruk dari masa ke masa.
Perlakuan tersebut jelas menyalahi dari sudut Islam, tidak bertamadun dan sudah pasti mangsa akan
diselubungi trauma serta berkemungkinan besar dilanda sindrom kemurungan
selepas kejadian yang begitu mengaibkan itu.
KedahNews.com memohon dan merayu agar pihak yang mengetahui tentang asal usul gambar atau insiden di atas supaya tampil menghubungi pihak berkuasa membuat laporan segera supaya tindakan tegas dapat diambil seberapa segera.
Cuba bayangkan sekiranya kejadian di atas melibatkan adik, kakak, sepupu, anak perempuan, saudara mara atau sahabat handai kita sendiri. Apa agaknya tindakan kita jika mereka-mereka yang kita sayangi diperlakukan seperti binatang oleh budak-budak yang bersifat seperti "binatang" ini?
Cuba pula bayangkan sekiranya anak anda merupakan budak lelaki kurang ajar yang sanggup melakukan kerja-kerja terkutuk seperti ini. Apakah tindakan kita terhadap mereka? Dibiarkan saja atau wajar kita hukum anak kita seberat-beratnya?
KedahNews.com memandang berat insiden seperti ini dan sekiranya tidak dibendung, kami risau jika ia semakin menjadi-jadi selepas ini. Tegasnya, tindakan perlu diambil segera dan hukuman yang agak keras perlu diambil sebagai iktibar serta teladan buat masa akan datang. Setuju? -KedahNews.com