KUALA LANGAT – Calon Ketua Cabang PKR
Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, nyaris ditumbuk sekumpulan ahli
PKR yang mencetuskan provokasi di dewan selepas beliau masuk untuk
mengemukakan bantahan terhadap pengundian yang didakwa tidak telus,
semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu
menyaksikan sekumpulan lelaki membaling kerusi dan meja menyebabkan
kertas undi berselerak.
Kekecohan tidak berhenti di dalam dewan,
malah sehingga ke luar apabila sekumpulan penyokong menyuarakan rasa
tidak puas hati terhadap Abdullah Sani.
Abdullah Sani, yang juga Ahli
Parlimen Kuala Langat, ditemani isterinya, Faizah Arifin, terpaksa
berlari ke arah kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri apabila
dikejar sekumpulan lelaki.
Lebih memburukkan keadaan apabila
berlaku tumbuk-menumbuk antara dua kumpulan terbabit sehingga
mencetuskan pergelutan dan tolak-menolak sesama mereka di luar dewan.
Abdullah Sani memaklumkan, beliau
membuat laporan di Balai Polis Telok Panglima Garang berhubung apa yang
didakwa pemilihan tidak telus itu.
Sementara itu, calon Ketua Cabang PKR
Kuala Langat, N Radha Krishna berkata, beliau kecewa dengan insiden yang
berlaku itu dan ia menjejaskan bilangan mereka yang mengundi.
Beliau mendakwa nyaris dipukul sekumpulan lelaki kejadian tumbuk-menumbuk itu berlaku.
“Bagi saya tindakan ini tidak profesional kerana menimbulkan imej negatif kepada parti.
“Saya akan buat sidang media esok (hari
ini) berhubung dengan kekacauan yang berlaku tadi (semalam),” katanya,
yang turut membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. – Sinar Harian Online