PEMILIHAN PKR: Azmin, Kee Keong pecat 4 ahli, 10 digantung


Seramai empat orang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipecat sementara 10 ahli lain digantung keahlian setelah Lembaga Disiplin parti itu meneliti beberapa kes berkenaan tatatertib dan disiplin ahlinya.

Laman web rasmi PKR, KeadilanDaily.com melaporkan kes-kes berkaitan dibentangkan ketika mesyuarat Biro Politik semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Parti, Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir ke mesyuarat itu ialah "De Facto" PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan beberapa anggota biro yang lain.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Dato' Dr Tan Kee Kwong, empat ahli yang dipecat itu adalah Radin Sharifuddin Mohamad Yasin (Cabang Selayang), R. Kumara Guru (Cabang Alor Setar), Zulkafli Abdullah (Cabang Hulu Selangor dan Ahmad Jufliz Faiza (Cabang Setiawangsa).

Kenyataan media laman web itu menyebut Radin Sharifuddin dipecat kerana telah merempuh masuk ke dewan pengundian dan merampas kotak undi sewaktu proses pemilihan Cabang Selayang berlangsung pada 11 Mei lalu.

Sementara itu, Kumara Guru pula ketika pemilihan di Cabang Kota Raja pada hari yang sama telah mengambil beberapa kertas undi yang ditanda sendiri oleh beliau dan telah memasukkan kertas-kertas undi tersebut ke dalam peti undi walaupun beliau bukan anggota Cabang berkenaan.

Zulkafli pula dipecat kerana menjerit dan menuduh Abdul Khalid dengan kata-kata ‘rasuah’ dan ‘penipu’ ketika sidang media yang diadakan di ibu pejabat Keadilan yang diadakan pada 17 Mei.

Manakala, Ahmad Jufliz pula dikatakan bersalah kerana tidak mengendahkan amaran tatatertib yang dikeluarkan Lembaga Disiplin dan terus mengkritik parti secara terbuka.

Empah ahli digantung keahlian kerana mencetuskan kekecohan di dewan pengundian sewaktu proses pemilihan Cabang Selayang pada 11 Mei.

Mereka adalah V. Shanmugam, N. Patmanathan, Norizan Omar, dan Azman Yaakob.

Mereka yang digantung keahlian kerana membuat gangguan sepanjang proses pengundian berlangsung sehingga mencetuskan kekecohan ketika pemilihan Cabang Kota Raja pada 11 Mei juga adalah S Manugharan, M Telai Amblam ,K Vicknesvaran,M Munisamy, P Chandrasekaran dan Syed Ahmad Putra Syed Isa.

Saifuddin Shafi Muhammad diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa membocorkan laporan minit Mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui Twitter 14 Mei lepas.

Keputusan Lembaga Disiplin itu dilihat bakal menyemarakkan beberapa kemarahan lagi berdasarkan luahan tidak puas hati sebelum ini yang dibangkitkan mereka.

Antaranya ialah Zulkafli yang videonya menuduh Abdul Khalid di ibu pejabat PKR tersebar beberapa hari lepas.

Zulkafli dikatakan telah memberikan segala bukti penipuan pemilihan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tetapi mereka yang dipecat. Dengar khabarnya juga, ada laporan polis turut dibuat.

Daripada keputusan mesyuarat yang diadakan malam tadi itu, dilihat hanya ahli yang bertindak meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara yang agak melampau sahaja dikenakan tindakan.

Tidak kedengaran pula tindakan diambil kepada para pemimpin tertinggi PKR yang dilihat banyak menjadi sasaran aduan-aduan mereka. -KedahNews.com