SHAH ALAM – Pemilihan PKR Cabang Shah
Alam kecoh apabila Calon Ketua Cabang, menegur lawannya, Rodziah Ismail
yang mengedarkan bunga di pintu masuk Dewan Teratai, Seksyen 19,
sebentar tadi.
Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik
tidak berpuas hati dengan tindakan Rodziah yang disifatkan
mengula-gulakan pengundi dengan mengedarkan kuntuman bunga mawar.
Berlaku sedikit pertikaman lidah antara
kedua-dua lawan sekutu itu kerana Rodziah menegaskan bahawa bunga
berkenaan adalah sebagai hadiah sempena Hari Ibu dan beliau selaku Adun
di kawasan berkenaan (Batu Tiga).
Yaakob meminta Rodziah berhenti
mengedarkan kuntuman bunga berkenaan namun beliau enggan dan segera
mendapatkan pengesahan daripada Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Datuk
Johari Abdul.
Menurut Rodziah, Johari membenarkannya
mengedarkan bunga berkenaan dengan syarat diberi kepada pengundi yang
selesai mengundi dan kebenaran itu disambut sorakan daripada penyokong
beliau.
Sebelum itu, penyokong Yaakob tidak
berpuas hati dengan tindakan Rodziah yang masih berada di dalam dewan
mengundi dan didakwa menjalankan kempen di dewan mengundi.
Bagaimanapun Rodziah menafikan beliau
meneruskan kempen di dalam dewan sebaliknya memberi keutamaan kepada
pengundi yang kurang upaya dan uzur untuk melakukan pemilihan terlebih
dahulu. – Sinar Harian Online