Pemilik kad perniagaan "Sahabat kepada PM" tampil pertahan tindakan

Datuk Abdul Razak Baba yang dilapor menggunakan gelaran "Sahabat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak" pada kad perniagaannya mempertahankan tindakannya itu dengan alasan mencontohi perlakuan Rasulullah SAW.

Menurut Abdul Razak yang diperoleh dari laman portal Mynewshub.my, perkara berkenaan tidak salah disisi undang-undang tetapi ia adalah satu usaha merapatkan barisan kepimpinan UMNO umpama baginda Rasulullah yang bergerak teguh bersama-sama sahabatnya.

Berkemungkinan Ahli Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka itu tampil menjelaskan kontroversi kad perniagaannya yang agak "pelik" itu adalah disebabkan gambar kad namanya yang telah tersebar secara meluas di internet sejak semalam.
“Salah ke? Dalam undang-undang salah ke saya buat begitu.. Saya cuma menggerakkan apa yang Rasulullah gelarkan kepada para rakan-rakan sahabat, barulah kuat.

KadNamaPelik
“Tidak ada orang UMNO lain yang menggunakan pendekatan seperti saya, saya dengan Perdana Menteri umpama sahabat dalam menggerakkan politik dan dakwah melalui UMNO,” katanya yang dipetik dari laman web tersebut.
Menurutnya lagi, pihak tertentu harus faham tujuan perkara seperti itu digunakan dan ditulis secara jelas di dalam kad kerana ia juga sebagai satu janji atas nama Allah untuk berpolitik bersama-sama dan memartabatkan Islam dan UMNO untuk orang Melayu.

“Anda kena faham, gelaran sahabat digunakan sejak zaman Rasulullah lagi, ada sebab kenapa saya buat begitu. Saya faham apa yang Rasulullah sampaikan.

“Ia umpama saya bersumpah atas nama Allah untuk bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib bergerak dalam UMNO,” katanya kepada Mynewshub.my ketika dihubungi.

Menurut beliau hari ini ada pihak yang hadir bertemunya dan merakamkan gambar kad nama berkenaan dan beberapa lama kemudian ia dilihat tersebar di internet. -KedahNews.com

Sumber asal: Mynewshub.my