Penangan cinta Facebook terjebak di bilik hotel


Alor Setar – Seorang wanita yang baru mengenali teman lelakinya melalui laman Facebook (FB) telah dicekup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam serbuan yang dilakukan di sebuah hotel bajet semalam.

Wanita berusia 26 tahun itu mendakwa baru datang dari Sabah untuk mencari pekerjaan di sini atas bantuan teman lelakinya dan memilih untuk tinggal di situ untuk menjimatkan wang.

Ketika serbuan dilakukan oleh JAIK, teman lelaki wanita itu bersembunyi di bawah katil hotel dan memaksa pihak JAIK mengangkat katil hotel untuk menahan pasangan wanita tersebut.

Dalam operasi yang dijalankan pada jam 12.30 malam, pasukan penguatkuasa JAIK turut berjaya menahan beberapa pasangan termasuk seorang kanak-kanak di sekitar hotel bajet yang terdapat sekitar bandaraya Alor Setar.  



Selain itu, seorang ibu berusia 25 tahun bersama anak perempuannya yang didapati orang kurang upaya (OKU) turut ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 23 tahun.


Tindakan wanita tersebut yang difahamkan masih berstatus isteri orang membawa anaknya bertujuan untuk mengaburi pihak penguatkuasa tidak berhasil dan wanita itu mendakwa mereka telah dihalau keluar dari kediaman.

Teman lelaki yang ditahan bersama wanita tersebut mendakwa hubungannya bersama wanita itu hanyalah sebagai kakak angkat dan hanya membantu untuk mencari tempat pelindungan bagi membantu ibu muda itu dan anaknya selepas mereka dihalau.

Seorang lelaki berstatus suami orang berusia 32 tahun turut ditahan bersama teman wanitanya yang merupakan anggota sukarelawan sebuah jabatan di Pulau Pinang disini.


Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, 50, berkata, penguatkuasa menyertai operasi demi membendung perbuatan tidak bermoral terbabit.

“Dalam operasi kali ini, ada pasangan dikesan sudah beberapa kali ditahan termasuk di Lorong Petani sebelum ini. Tidak ketinggalan, pasangan tukang masak dan jurujual”

“Ibu bapa dinasihatkan mengawal penggunaan laman sosial anak-anak mereka. Dari Facebook boleh membawa maksiat apabila mereka melakukan pertemuan di hotel,” katanya lagi.

Jika sabit kesalahan, mereka dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

–KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor