Penduduk Taman Ria Sg Petani abai kebersihan

SUNGAI PETANI - Pemeriksaan ke atas premis kediaman di lokasi tumpuan dekat Taman Ria Jaya mendapati masih ada segelintir pemilik yang mengabaikan penjagaan kebersihan sehingga boleh menyebabkan pembiakan Aedes berlaku.

Hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menemui, penduduk masih mengamalkan tindakan menakung (simpan) air dalam bekas terbuka yang boleh mengakibatkan nyamuk membiak.

Pemeriksaan turut menemui sebuah rumah yang dijadikan lokasi meletakkan bahan binaan/perniagaan namun dibiarkan dalam keadaan semak-samun.

Tindakan amaran turut diberikan kepada pemilik supaya membersihkan kawasan persekitaran yang boleh menjadi punca kepada pembiakan nyamuk Aedes yang akhirnya boleh merebak ke kawasan perumahan lain.

Anggota yang bertugas turut melakukan pemeriksaan di lorong belakang dan mendapati terdapat rumah berpenghuni dan rumah kosong tidak dijaga dengan baik kerana dipenuhi pokok liar yang mencetuskan keadaan tidak selamat dari segi kesihatan.

Operasi diketuai Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kuala Muda, Mohd Bakri Abd Rahman bersama 30 kakitangan yang melakukan Ops Gempur secara besar-besaran semalam.

Bagi penghuni yang tiada di rumah, notis peringatan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dilekat, sebagai tanda amaran agar mereka peka terhadap operasi yang dijalankan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam MPSPK, Zubaidah Hanoom Mohd Yusof berkata, pihaknya telah memberi notis peringatan bawah Seksyen 110 dan 101 (v) Akta 171 kepada pemilik rumah yang tidak berpenghuni semasa pemeriksaan dibuat.

Bagaimanapun, katanya, semua premis dalam kawasan perkhidmatan MPSPK yang tidak dijaga dengan baik akan diberi arahan pembersihan.

“Sekiranya masih dibiarkan, MPSPK akan melakukan kerja-kerja pembersihan dengan caj bayaran pembersihan semak samun yang dikepilkan bersama bayaran cukai pintu setiap pemilik yang terlibat.

“Tindakan ini sebagai kesedaran dan memberi peringatan kepada penduduk agar sama-sama menjaga kebersihan di samping mencegah pembiakan nyamuk Aedes yang boleh mengancam kesihatan penduduk,” katanya. -Sinar Harian