Pengakap Malaysia kini bertaraf dunia


Alor Setar, 22 Mei – Cuba mencetus revolusi baru di dalam dunia Pengakap bagi menarik minat remaja dan golongan muda menyertai persatuan tersebut, Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan “Bengkel Asas Membina Laman Sesawang dan Multimedia” di sini, baru-baru ini.

Meskipun disertai oleh golongan pelajar sekolah rendah, Pengakap yang merupakan antara persatuan tertua di Malaysia itu komited menyediakan platform terbaik bagi golongan sasaran untuk menghadapi kerenah dunia berteknologi maklumat dan serba canggih di era millennium ini.

Ketua Persuruhjaya Pengakap Malaysia, Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman dalam kenyataannya berkata,  kemahiran dalam bidang multimedia (ICT) amat diperlukan oleh setiap ahli persatuan bagi proses perkongsian maklumat dan pendapat.

Katanya, dengan persediaan tersebut ia akan mendedahkan pengakap ke arah yang lebih bersifat global, bersesuaian dengan perkembangan multimedia dan teknologi maklumat.

“Ini hanyalah merupakan suatu permulaan kepada suatu perancangan yang panjang. 

“Pihak Persekutuan Pengakap Malaysia berharap, suatu hari nanti, pengakap di Malaysia akan mempunyai suatu laman sesawang yang boleh menjadi  pusat rujukan (resourse centre) untuk membantu ahli-ahli pengakap dari seluruh negara membuat rujukan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam tersebut.

Menurutnya lagi, Malaysia telah diberi penghormatan besar oleh dunia apabila ibu pejabat persatuan peringkat dunia yang kini terletak di Geneva, Switzerland, akan dipindahkan ke Kuala Lumpur pada Jun ini.

“Tidak berapa lama lagi, iaitu pada bulan Jun ini, pejabat World Organisation Scout Movement (WOSM), yang sekarang ini berpusat di Geneva, akan dipindahkan ke negara kita, iaitu di Brickfield, Kuala Lumpur,” katanya lagi. 

Persatuan Pengakap Malaysia  telah mengadakan ‘Bengkel Asas Membina Laman Sesawang dan Multimedia’ peringkat Kebangsaan yang julung-julung kalinya pada 15 hingga 17 Mei lalu di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah (BTPN), Kompleks Pendidikan, di sini. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor