Penjual nasi lemak disimbah asid, bekas suami ditahan



Alor Setar – Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 62 tahun yang merupakan bekas suami wanita yang dilaporkan telah disimbah asid bersama suami dan seorang anaknya di gerai nasi lemak Tanah Merah, Pendang.

Penahanan itu telah membantu pihak polis menemui satu bukti baru bagi mengenal pasti dalang sebenar yang bertanggungjawab melakukan jenayah terbabit.

Polis kini sedang memburu dua lagi suspek berusia 20-an yang dipercayai telah diupah oleh lelaki berkenaan untuk melakukan serangan terhadap keluarga tersebut.

“Polis percaya dua suspek terbabit diberi upah oleh bekas suami mangsa memandangkan lelaki itu tidak berupaya melakukan sendiri berikutan faktor usia,” kata Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad.

“Suspek telah ditahan reman selama 7 hari bermula semalam untuk disoal siasat,” katanya lagi.

Dalam laporan akhbar semalam, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 62 tahun berhubung kes menyimbah asid terhadap sepasang suami isteri serta seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, awal pagi kemarin.

Suspek telah berjaya ditahan dekat Hutan kampung, Alor Setar pada jam 3.30 pagi kemarin.

Siasatan yang terperinci sedang dijalankan dan pihak polis menunggu siasatan selesai bagi mengulas kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya lagi. -KedahNews.com

Sumber asal: MyMetro