George Town - Meskipun Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu, menegaskan bahawa para penyokong PAS akan memberi komitmen penuh membantu DAP memenangi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, ketegasan itu disifatkan sebagai "hambar" dari sudut realitinya.
Dalam satu siri ceramah yang mengetengahkan calon DAP, RamKarpal Singh Deo, dan nama-nama hebat lain seperti Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, sambutannnya sangat kurang menggalakkan.
Ceramah yang diadakan di Kampung Melayu, Air Hitam, yang merupakan kawasan majoriti penduduk Melayu itu dianggarkan hanya dihadiri kurang dari 100 orang saja walaupun persediaan rapi telah dilakukan lebih awal.
Kampung tersebut yang menempatkan penghuni Flat Kampung Melayu merupakan kawasan yang dihuni oleh masyarakat Melayu dan meskipun mereka dipujuk oleh petugas-petugas kempen Pakatan Rakyat, mereka enggan keluar menyertai ceramah tersebut.
Kira-kira jam 10.15 malam, kehadiran RamKarpal disambut dengan tepukan yang sangat "memalukan" dan lemah, tidak melambangkan pengaruh mendiang bapanya, Karpal Singh, yang disifatkan sebagai "harimau Jelutong".
Desas-desus memberitahu sebelum ini bahawa masyarakat Melayu sudah serik untuk memberi sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang ekoran kehidupan mereka yang semakin terhimpit di bawah pentadbiran Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.
Ditambah pula sikap DAP yang jelas tidak menghormati hak dan keistimewaan Islam di Malaysia dan menentang keras perlaksanaan Hudud turut dikatakan menjadi punca utama para penyokong PAS hilang kepercayaan pada Pakatan Rakyat. -KedahNews.com