Persatuan Ulama gesa boikot Cadbury habis-habisan!

Meskipun memberi jaminan untuk menarik balik semua produknya yang dikesan mengandungi unsur babi dari pasaran negara, Cadbury Confectionery Malaysia. Sdn. Bhd. (Cadbury)  kini berdepan risiko besar untuk diboikot seluruh umat Islam di Malaysia.

Terbaru, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa agar seluruh umat Islam bertindak memboikot jenama tenusu terkenal itu sebagai satu pengajaran terhadap Cadbury.

Gesaan itu dibuat setelah syarikat itu dikatakan memandang remeh dan tidak hormat pada umat Islam di Malayia selepas dua produknya iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Setiausaha Agung PUM, Prof. Madya Mohd. Roslan Mohd. Nor menegaskan bahawa tindakan boikot itu perlu dilakukan supaya syarikat terbabit belajar untuk lebih sensitif dan menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

Selain itu, tindakan itu juga wajar diambil iktibar kepada semua syarikat-syarikat di Malaysia agar tidak melakukan kesalahan serupa seperti Cadbury pada masa yang akan datang.

Tegas beliau, tindakan boikot kesemua produk keluaran Cadbury itu perlu dilakukan sehinggalah Cadbury dapat memberi jaminan bahawa bukan sahaja dua produk tersebut, malah semua produknya bebas daripada DNA babi. -KedahNews.com