Pesanan Ahmad Said untuk MB Terengganu


Kemaman – Keadaan politik di Terengganu dilihat tidak stabil dan Menteri besar Terengganu yang baharu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, perlu berusaha untuk kembali memperkukuhkan kembali kepercayaan rakyat bagi mengelakkan pembangkang merampas negeri tersebut pada PRU 14 nanti.

Pesanan itu telah disampaikan oleh Bekas Menteri Terengganu, Dato’ Ahmad Said kepada Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman selepas ditemu bual pemberita di Majlis Persandingan anaknya disini semalam.

"Saya minta beliau tangani dengan sempurna kerana keadaan politik Terengganu sekarang seperti kita beli barang mudah pecah naik kapal terbang. Kita kena bungkus atau balut elok-elok dan kena tampal tulisan ‘fragile’ serta ‘handle with care’.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya lagi.

Menurutnya lagi, Datuk Ahmad Razif perlu meneruskan segala perancangan yang telah di buat ketika pentadbirannya sebelum ini dan menasihatkan Menteri Besar yang baru dilantik itu supaya tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berkaitan perancangan yang telah dirancang sebelum ini.

Kedudukan Dato’ Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Umno di Terengganu telah di tamatkan secara automatik selepas beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan menyerahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Ahmad Said telah membuat keputusan untu tidak bertanding pada PRU 14 akan datang ketika menjawab soalan daripada pemberita semalam. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor