Calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar
menyifatkan dua pemimpin tertinggi PAS umpama 'talam dua muka' berikutan
tindakan mereka yang memutar-belitkan isu hudud.
Menurut calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor itu, dua
individu tersebut iaitu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua
Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang sanggup berbuat demikian demi
kepentingan politik.
"Mereka menunjukkan sifat munafik kerana mempolitikkan dan mempermainkan hukum hudud.
"Apabila di depan pengundi Melayu cakap hudud adalah perjuangan PAS
tapi di depan kaum Cina malu-malu bila cakap pasal hudud," katanya pada
sidang media di sebuah restoran di Taman Desa Mawar, Air Itam di sini,
Khamis.
Beliau berkata, pemimpin sedemikian harus ditolak daripada kepimpinan
tertinggi PAS kerana jelas membelakangkan perjuangan sebenar parti itu.
"Pemimpin PAS harus sedar mengenai agenda sebenar parti untuk
memperjuangkan undang-undang Islam dan tidak bercakap atas dasar politik
semata-mata," katanya.
Mohamed Nabi turut mempersoalkan sokongan PAS terhadap calon DAP di
Teluk Intan, Dyana sofya Mohd Daud walaupun calon itu secara
terang-terangan menolak hudud.
"Mereka (PAS) harus menjelaskan kepada rakyat atas dasar apa sokongan
itu diberikan walaupun ia bertentangan dengan perjuangan sebenar parti
tersebut," katanya.
Sementara itu, Mohamed Nabi juga membidas kenyataan Timbalan Ketua
Menteri II, P. Ramasamy yang mengancam akan menamatkan hubungan dengan
PAS dalam Pakatan Rakyat jika hudud dilaksanakan.
"Saya lihat ia sebagai satu ugutan. Saya minta pemimpin-pemimpin PAS supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan," katanya. -Mstar