ALOR SETAR - 'Ribut' yang melanda pemilihan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) ketika ini jelas menunjukkan betapa Datuk Seri Anwar
Ibrahim bukanlah pemimpin hebat yang kononnya mampu 'menyelamatkan'
Malaysia seperti dicanang penyokongnya selama ini.
Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Abdul Ghani Haroon berkata,
kelemahan Anwar terbukti setelah perkara itu masih gagal diatasi biarpun
pergaduhan bukanlah sesuatu yang asing setiap kali berlangsungnya
pemilihan parti berkenaan.
Malah saya difahamkan tahun ini keadaannya lebih teruk. Kalau sudah
setiap kali pemilihan mahu bertumbuk, di mana kemampuan serta
kredibiliti Anwar untuk menyelesaikannya?
Dahulu ketika PKR belum berkuasa, perkara sebegini tidak berlaku.
Tetapi apabila ada kuasa sedikit, masing-masing sudah hilang
pertimbangan akal budi bagi merebut jawatan. Jadi, bagaimana mereka mahu
diharapkan untuk menjaga negara?" katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Proses pemilihan PKR di seluruh negara baru-baru ini kecoh dengan
beberapa cabang diisytiharkan sebagai tidak sah dan perlu mengadakan
pengundian semula termasuk di Cabang Nibong Tebal, Pulau Pinang dan
Tenom, Sabah.
Kejadian itu memberi tamparan hebat kepada pemimpin parti berkenaan
yang selama ini sering mempertikai ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) selain kerap kali mengelirukan rakyat dengan memberi gambaran
kononnya PKR adalah parti yang bersih dan demokratik.
Abdul Ghani menambah, beliau juga pelik dengan sikap segelintir ahli
PKR yang seakan-akan dicucuk hidung untuk terus menyokong PKR sekali pun
menyedari segala kepincangan dan penipuan dilakukan pemimpin atasan
dalam menempatkan orang masing-masing di kedudukan tertentu.
Sudah berapa kali pemilihan, anda dapat lihat Ketua Cabang PKR
Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan kepincangan dan penipuan yang
berlaku. Tetapi di mana kedudukannya sekarang?
Tetapi mereka masih menyokong PKR. Tidakkah mereka nampak bahawa
pemilihan ini membuktikan PKR hanya membentuk keadilan untuk Anwar dan
bukannya keadilan umum seperti didakwa," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Antipenyelewengan Negeri
Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, jika diteliti setiap laporan
penipuan yang dilaporkan dalam pemilihan kali ini, ternyata ada tangan
ghaib yang jijik cuba untuk menipu bagi memastikan individu tertentu
mendapat tempat di dalam parti.
Anwar tidak perlulah lagi bercakap tentang prinsip demokrasi. Beliau
ternyata gagal dalam mendemokrasikan partinya sendiri sehingga
menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal memberi alasan yang
matang berhubung kekecohan tersebut.
Ramai rakan yang masih di dalam PKR mendakwa pemilihan ini tidak sah
kerana diselubungi penipuan. Soalnya, mahukah PKR mengadakan pengundian
semula bagi membuktikan mereka benar-benar telus? Saya yakin tidak,"
katanya. -Utusan