Alor Setar - Kekecohan dan kontroversi yang berlaku dalam pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menunjukkan parti itu lebih teruk dari tuduhan yang mereka lemparkan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sebelum ini.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kulim - Bandar Bharu, Norsabrina Mohd Noor berkata, para pemimpin PKR sebelum ini sanggup menghasut rakyat untuk turun melakukan kekecohan berkali-kali di jalanraya sambil memburuk-burukkan nama baik SPR, tapi jelas mereka sendiri tidak mampu berlaku telus dalam pemilihan parti mereka.
Menurutnya demonstrasi yang diadakan di depan ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya, dan kritikan-kritikan ahli parti itu terhadap Jawatankuasa pemilihan serta beberapa pemimpin parti menunjukkan wujudnya ketidak telusan pemilihan tersebut.
"Mereka fitnah SPR tidak telus, korup dan tiada integriti sambil memanipulasi minda rakyat. Tapi cuba lihat sendiri apa yang berlaku dalam pemilihan parti mereka...hancur!
"PKR lebih teruk dari apa yang mereka tuduh SPR sebelum ini. Kenapa tak guna dakwat kekal? Kenapa tak lantik Ambiga jadi pemantau? Mereka desak SPR yang bukan-bukan, tapi mereka sendiri tak buat. Cakap tak serupa bikin.." katanya ketika dihubungi KedahNews.com sebentar tadi.
Norsabrina yang juga merupakan Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi itu turut mempertikai peranan Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin kanan parti itu yang jelas gagal mengawal suasana pemilihan parti tersebut.
"Anwar, Azmin, Zuraidah dan Shamsul Iskandar sepatutnya dapat kawal dan buktikan mereka mampu jaga suasana pemilihan yang adil, telus dan benar. Tapi mereka gagal dan itu membuktikan mereka memang 'tak boleh pakai'.." katanya memulangkan "paku buah keras".
Justeru itu, beliau turut menggesa agar seluruh ahli PKR supaya bertenang dan menggunakan kewarasan akal fikiran untuk menolak serta meninggalkan parti "huru-hara" tersebut serta merta, seberapa segera.
"Takkanlah ahli-ahli PKR sekarang tak boleh nampak lagi perangai pemimpin dalam parti tu? Tak perlu sertai UMNO pun tak mengapa, tapi keluarkan diri dari parti tu segera. Rakyat bijak perlu menolak PKR secara total," tambahnya pada KedahNews.com.
Ratusan ahli PKR bertindak melakukan demonstrasi di depan ibupejabat PKR baru-baru ini sebagai tanda protes terhadap beberapa penyelewengan, penipuan dan kezaliman yang berlaku di sepanjang pemilihan pucuk pimpinan parti itu.
Mereka juga menggesa agar tindakan disiplin yang keras diambil terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaurudin, calon Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Saifuddin Nasution.
Selain itu, mereka juga mendakwa Ketua Jawatankuasa Disiplin PKR, Dato' Dr Tan Kee Keong dan Pengerusi serta pegawai Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Johari Abdul, terlibat menyeleweng di dalam pemilihan parti itu.
Terkini, meskipun dikecam hebat oleh akar umbi, Tan Kee Keong dan Azmin dilaporkan telah memecat seramai 4 orang ahli, manakala 10 orang ahli telah digantung dari keahlian PKR atas pelbagai tuduhan. -KedahNews.com