GEORGETOWN – DAP dicabar Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.
Calon DAP, Ramkarpal Singh Deo, 38, akan
bersaing dengan calon PCM, Datuk Huan Cheng Guan yang juga Naib
Presiden parti, serta dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul
Sathar dan Abu Bakar Sidek Mohd Zan.
Pertandingan empat penjuru itu diumumkan
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Kapten (B) Ir Anuar Yahya, di Pusat
Penamaan Calon PRK Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang di sini,
sebentar tadi.
Seorang lagi individu yang hadir ke
pusat penamaan calon, Lim Chee Koon, gagal menyerahkan borang
pencalonannya dalam tempoh ditetapkan.
Difahamkan, wang deposit tidak dihantar
kepada beliau yang sepatutnya mewakili Penang Front Party, iaitu
gabungan 44 badan bukan kerajaan (NGO).
MCA yang sepatutnya mewakili Barisan Nasional (BN), memutuskan untuk tidak meletakkan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian manakala 21 Mei untuk pengundian awal.
Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bapa Ramkarpal, Karpal Singh, dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu, Karpal mengalahkan calon BN, Teh Beng Yeam dengan majoriti 41,977 undi. – BH Online