PRK P41 Bukit Gelugor: Dilema Penyokong PAS


Amat menarik melihat telatah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang menegaskan bahawa PAS akan menghantar calon mereka yang membawa simbol “roket” pada Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor pada hari penamaan calon.

Kononnya Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang mahu memberi mesej bahawa mereka menyokong penuh calon DAP, Ram Karpal, yang diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang sebagai calon pakatan pembangkang.

“Calon PAS hanya bawa simbol roket!”, kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, semalam.

Penulis tertanya-tanya, apakah Mat Sabu tidak terfikir bahawa kenyataannya itu juga membawa maksud bahawa PAS menyokong sebuah parti yang jelas menentang perjuangan partinya berhubung isu hudud?

Dalam erti kata lain, tindakan Mat Sabu itu boleh dilihat sebagai “PAS membawa simbol penentangan hukum hudud”, bukan?

Tergamakkah PAS berjalan seiring, mengiringi calon sebuah parti yang membantah keras perjuangannya memperjuangkan perlaksanaan hukum hudud di Kelantan?

Perbuatan itu seolah-olah memberi signal kepada seluruh penyokong PAS dan pengundi Melayu Muslim di Parlimen Bukit Gelugor bahawa undi yang diberikan pada DAP pada PRK di situ juga bermaksud “memberi undi bantahan terhadap perlaksanaan hudud”.

Nampaknya, di dalam seloroh Timbalan Presiden PAS itu, terkandung sesuatu yang mampu memberikan impak negatif terhadap perlaksanaan hukum Allah tersebut dan dilihat sangat bertentangan dengan perjuangan parti.

Demi mengimarahkan Islam di Malaysia, UMNO begitu komited apabila sanggup mengenepikan sentimen politik dengan menyokong usaha PAS dalam menjayakan perlaksaan enakmen hudud di Kelantan.

Berlainan pula dengan Mat Sabu, dia menganjurkan pula para penyokong PAS di Bukit Gelugor untuk mengundi pihak yang membantah perlaksanaan hukum Allah itu?

Ke arah mana Mat Sabu hendak membawa pengundi PAS di Bukit Gelugor sebenarnya? Ke arah perlaksanaan hudud? Atau beliau lebih cenderung membawa penyokong PAS menyokong DAP yang menentang perlaksanaan hukum tersebut?

Para penyokong dan pengundi PAS di PRK Bukit Gelugor perlu membuat pilihan...