#PRKTelukIntan: Pilih antara "Muda" atau "Berpengalaman"


Teluk Intan, 20 Mei - Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dianggap satu persaingan yang sengit kerana kedua-dua calon mempunyai tarikan dan pengaruh yang bakal menentukan keputusan PRK di kawasan tersebut pada 31 Mei ini.

Dalam PRK Parlimen Teluk Intan, DAP akan mempertaruhkan seorang calon muda, Dyana Sofia Mohd Daud, 27 yang dianggap calon popular ketika ini menentang calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Mah Siew Keong yang mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pernah menjadi ahli parlimen di kawasan tersebut selama dua penggal.

“Dyana Sofya juga merupakan seorang ahli politik yang akan membawa cara politik baharu, iaitu bagaimana cara anak muda sekarang berfikir,  yang saya rasa pasti akan memikat pengundi di Teluk Intan nanti.

“Sementara calon BN, Dato’ Mah Siew Keong pula, beliau merupakan seorang calon yang berpengalaman dan pernah menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal. 

“Pengalaman beliau tersebut pasti menjadi salah satu daya penarik  kepada pengundi,” kata Pensyarah Kanan Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsul Adabi Mamat.

Menurutnya lagi, kedua-dua parti dilihat mengunakan pendekatan yang berbeza dalam meletakkan calon bagi PRK tersebut tetapi percaya kedua-dua calon itu mempunyai tarikan tersendiri bagi memancing undi untuk diri mereka nanti.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan yang akan diadakan pada 31 Mei ini akan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon DAP, Dyana menentang calon BN, Mah Siew Keong. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor