Kuala Terengganu - PAS Terengganu mahu Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi peluang kepada
rakyat memilih kerajaan baharu negeri.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata pilihan raya
baharu perlu diadakan atas faktor kedudukan Barisan Nasional (BN)
memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas (14), PKR (1) dan
Bebas (3) ketika ini.
“Kita sarankan supaya menteri besar yang baharu dilantik, yang tidak
lagi membawa majoriti parti yang memerintah supaya membubarkan Dewan
Undangan Negeri kerana itu lebih gentleman,” katanya kepada pemberita
dalam sidang media di sini hari ini.
Ditanya keyakinan PAS memenangi pilihan raya negeri seandainya DUN
dibubarkan, Satiful berkata PAS yakin berdasarkan kepada perkembangan
politik tanah air yang lebih memihak kepada Pakatan Rakyat (PR).
Kemelut politik tercetus di Terengganu ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam.
Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar yang baharu.
Berikutan itu, Ahmad yang juga Adun Kijal; Ghazali Taib, Adun Ajil;
dan Roslee Daud (Bukit Besi) keluar daripada Umno dan menjadi wakil
rakyat Bebas hari ini.
PAS pernah memerintah Terengganu bagi tempoh 1999-2004 dan 1959-1960.
Pada pilihan raya umum ke-13, BN menang majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi DUN Terengganu. – BERNAMA