Kuantan, 18 Mei
– Qari dari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali dan Qariah dari Pahang, Hanimzah
Jalaludin, telah dinobatkan sebagai johan Tilawah Peringkat Kebangsaan kali ke
- 57 yang telah diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, semalam.
Ahmad Tirmizi,
29, yang memperdengarkan bacaan surah al-Imran bermula ayat 177 memperoleh
markah 91.67 peratus manakala Hanimzah, 32, (ayat 23 surah al-Israq) pula
meraih 88.67 peratus.
Masing-masing
menerima sebuah kereta Proton Preve 1.6 CVT Executive sumbangan Tabung Haji,
wang tunai RM30,000, piala pusingan dan iringan, sijil penyertaan serta pakej
ibadat haji.
Mereka telah
dipilih mewakili negara pada Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan yang akan
diadakan pada 16 hingga 21 Jun ini di Kuala Lumpur.
Sementara itu,
qari dari Negeri Sembilan, Amirahman Abas, 32, mendapat tempat kedua dengan
markah 90.33 peratus dan qari dari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan
Mohamad ditempat ketiga dengan 87 peratus.
Bagi ketegori
qariah pula, peserta Selangor, Nor Faizah Panut mendapat naib johan dengan
markah 85.68 peratus manakala qariah Johor, Nor Azrah Ayub, 38, mendapat tempat
ketiga dengan markah 85.67 peratus.
Tengku Mahkota
Pahang, Tungku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memperkenan untuk menyampaikan hadiah
kepada para pemenang.
Majlis turut di
hadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob, Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom serta Pengerusi Jawatankuasa
Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed
Ahmad.
Tilawah kali
ini, yang bertema 'Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' menyaksikan 30 peserta
dari 14 negeri mengambil bahagian termasuk dua johan pada edisi sebelumnya. -KedahNewas.com/Mohd Shahir Shukor