Raja Nazrin Sah Ditabal Sultan Perak ke-35



“Bismillahirrahmanirrahim… adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah.” - Raja Nazrin Shah, 29 Mei 2014
Kuala Kangsar - Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah, 58, diisytihar sebagai Sultan Perak yang baharu sebentar tadi di dalam majlis Istiadat Permasyhuran Sultan Perak yang baharu berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar. 

Pengisytiharan tersebut menjadikan  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak yang ke-35.

Istiadat melafaz sumpah dan pertabalan sebagai Sultan Perak tersebut kemudiannya disempurnakan denga bacaan doa oleh Mufti Besar Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membuat pengumuman itu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebelum istiadat pengkebumian Almarhum Sultan Azlan Shah.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu telah diputuskan dalam satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak pada petang semalam.

Selain dari Kerabat-Kerabat DiRaja Perak, istiadat tersebut turut dihadiri oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir. -KedahNews.com