Ketua Polis Langkawi, Superintenden Harrith Kam Abdullah mendakwa dirinya difitnah dan tuduhan NGO anti-jenayah MyWacth yang mengatakan dirinya menerima wang rasuah dari pemilik premis hiburan adalah tidak berasas sama sekali.
Harrith yang mempertahankan dirinya dari tuduhan tersebut menegaskan bahawa dia langsung tidak mengenali pemilik pusat hiburan mahupun sendikit yang kononnya memberi wang suapan padanya sebagaimana yang dimaksudkan NGO tersebut.
"Tidak, saya tidak kenal pemilik (pusat hiburan)... Saya tak kenal dia," tegas Harrith kepada media ketika diminta menjelaskan dakwaan tersebut.
Menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya, Ketua Polis Langkawi itu juga menjelaskan bahawa pihaknya sering melakukan serbuan tanpa sebarang prejudis atau rasa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Bertindak dengan mematuhi garis panduan dan undang-undang sedia ada, Harrith memberitahu bahawa terdapat sedikit kekeliruan segelintir pihak mengenai status tanah pusat hiburan yang mungkin disalahertikan pihak terbabit.
Katanya, kes di Langkawi dianggap "unik"
kerana banyak pusat hiburan menghadapi masalah lesen kerana masalah
hakmilik tanah di mana pihak berkuasa itu tidak diberi kuasa untuk campur tangan di dalam soal tersebut.
"Ini bukan masalah polis, tetapi orang mengadu kepada polis. Jika kita
mahu bertindak, kebanyakan daripada mereka akan ditutup," katanya merujuk pada satu kes yang dikemukakan NGO itu yang kononnya sengaja tidak disiasat pihak berkuasa Langkawi itu.
Mengulas lanjut mengenai tindakan yang tidak diteruskan terhadap premis pusat hiburan yang dikatakan MyWacth itu, Harrith menjelaskan bahawa kes berkenaan tidak diteruskan
kerana pusat hiburan tersebut sudahpun memiliki dokumen yang sepatutnya
sebagai lesen hiburan.
Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan sebelum ini mendakwa Hartih telah mengarahkan kes bernombor 4809/13 diletakkan status "Tiada Tindakan Lanjut" untuk melindungi seorang pemilik sebuah pusat hiburan di pulau tersebut.
Selain itu, Sanjeevan juga mendakwa Ketua Polis Langkawi itu menerima "wang perlindungan" dari 5 sendikit loteri haram yang kononnya dihantar secara terus ke rumah pegawai tersebut.
Meskipun dipercayai tidak mempunyai bukti kukuh atas dakwaan itu, MyWatch tetap berkeras atas dakwaan mereka dan NGO itu hanya memperolehi maklumat dari seorang pegawai kanan polis yang masih enggan didedahkan identitinya.
MyWatch mendesak agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segala rasuah dan salahlaku
Supt Harrith dan sepanjang siasatan dijalankan, Supt Harrith haruslah
diberi cuti sehingga siasatan selesai dijalankan. -KedahNews.com