Kira-kira 900 pekebun kecil getah seluruh negara yang terjejas
pendapatan ekoran kejatuhan harga getah diberi Bantuan Sara Hidup
Pekebun Kecil (SHPK) RM500 sebulan sejak Jun lalu oleh Pihak Berkuasa
Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Timbalan Ketua Pengarah Risda Mohamed Alang Abdul Hamid berkata,
bantuan jangka pendek itu diberi selama 48 bulan bagi membantu pekebun
kecil menyara hidup mereka.
“Kejatuhan harga getah ini memberi impak besar kepada pekebun kecil.
Oleh itu, pihak Risda sedaya upaya membantu mereka dengan mengurangkan
kos tertentu serta membantu mereka secara berterusan,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang Risda negeri, di sini, Khamis.
Beliau berkata, Risda turut memberi bantuan lain seperti bekalan
baja, benih getah dan peralatan-peralatan yang diperlukan bagi
mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh pekebun.
“Pihak Risda juga mengambil tindakan jangka pendek dan berterusan
dengan mengurangkan kos input sebanyak 24 peratus iaitu menurunkan kadar
harga baja Risda 4 daripada RM1,448 per tan metrik pada tahun lepas
kepada RM1,100 per tan metrik tahun ini,” katanya.
Selain itu katanya pelbagai aktiviti dilaksanakan oleh Risda untuk
membantu pekebun kecil meningkatkan pengeluaran susu getah dan menambah
pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 satu isi rumah menjelang
akhir 2015.
“Kunci utama ialah mengamalkan cara pertanian yang baik termasuk
mengajar teknik pembajaan yang betul dan menasihatkan mereka supaya
menambah hari penorehan sehingga 14 hari dalam tempoh sebulan,” katanya.
- mStar Online