Richard Riot tegas kekal bersama SUPP


Kuching, 20 Mei – Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato’ Seri Richard Riot Jaem menegaskan bahawa beliau akan terus kekal bersama parti itu dan menyatakan pendirian untuk tidak menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Menurutnya lagi, walaupun empat orang wakil rakyat telah keluar daripada SUPP untuk menyertai Teras minggu lepas, beliau beranggapan tiada tempat untuknya di dalam parti berkenaan sekiranya di minta berbuat demikian.

"Kenapa saya perlu meninggalkan kedudukan saya sekarang untuk menyertai Teras, sedangkan saya tidak tahu apa yang ada di sana (dalam Teras) untuk saya?" katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, sebagai salah seorang anggota kabinet persekutuan, beliau akan patuh kepada arahan dan nasihat Perdana Menteri , Dato’ Seri Najib Tun Razak.

"Saya perlu patuh kepada bimbingan (keputusan) Perdana Menteri. 

“Saya seorang menteri dan saya hanya beri tumpuan kepada tugas saya sebagai menteri. Saya perlu menjaga seluruh negara," tegasnya lagi.

Jumaat lepas, bekas Penolong Setiausaha Agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh keluar daripada parti itu untuk menyertai Teras bersama tiga Adun - Dr Jerip Susil (Bengoh), Dr Johnical Rayong (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).

Keputusan Wong meninggalkan SUPP berikutan perbalahannya mengenai kepimpinan parti itu dengan Presidennya, Tan Sri Peter Chin Fah Kui. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor

Sumber asal: Sinar Harian