Salahuddin Ayub ketuai jentera PAS bantu DAP di PRK Teluk Intan


Teluk Intan, 19 Mei – PAS mengambil keputusan untuk melantik Naib Presidennya, Salahuddin Ayub sebagai ketua jentera bagi mengepalai aktiviti-aktiviti berkempen parti itu bagi pihak DAP di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Perlantikan Salahudin dilihat sebagai sokongan PAS terhadap rakan di dalam Pakatan Rakyat, DAP bagi memastikan Teluk Intan akan kekal menjadi milik pembangkang pada 31 Mei ini.

"Beliau (Salahuddin) juga akan dibantu oleh jentera PAS Perak yang diketuai Pesuruhjaya (PAS Perak), Razman Zakaria.

"PAS akan memastikan calon Pakatan Rakyat daripada DAP menang pada PRK ini,” umum Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali kepada pemberita pagi tadi.

Prosese penamaan calon bagi PRK Teluk Intan  ditutup kira-kira jam 10 pagi tadi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara DAP yang mempertaruh calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud, menentang Presiden Gerakan, Dato’ Mah Siew Keong, yang terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, desas-desus di peringkat akar umbi PAS memberitahu bahawa mereka seolah-olah “malas” untuk membantu DAP di Teluk Intan ekoran kenyataan Dyana Sofya yang menolak hudud meskipun calon DAP itu berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, Seah Leong Peng (DAP) yang memperoleh sebanyak 27,399 undi telah menewaskan Siew Keong yang hanya mendapat 20,086 undi, dengan majoriti kemenangan sebanyak 7,313 undi. 

K Moralingam yang mewakili bebas ketika itu hanya mampu meraih 279 undi sahaja. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor