TELUK INTAN – Yammy Samat, ibu Dyana Sofya Mohd Daud calon DAP bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, mengumumkan secara rasmi
beliau tidak lagi bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar bersama anaknya di Bilik Gerakan
DAP di sini hari ini. Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Yammy
berkata beliau meninggalkan pertubuhan itu secara tidak rasmi sejak
lebih setahun lepas apabila mendapati parti itu cenderung kepada
politik.
“Perkasa tidak sepatutnya terlibat dalam politik. Sudah
lama saya meninggalkan Perkasa,” katanya, dan turut menafikan pernah
menjadi Ketua Wanita pertubuhan itu.
Ditanya bila Dyana Sofya
mengetahui tentang keanggotaannya dalam Perkasa, Yammy berkata anaknya
dimaklumkan berhubung keanggotaannya dalam pertubuhan itu baru-baru ini
selepas isu itu ditimbulkan pihak media.
Semalam, Dyana Sofya mengakui Yammy adalah anggota pertubuhan itu.
Sebelum
ini Dyana Sofya berkata beliau tidak mengetahui tentang keanggotaan
ibunya dalam persatuan itu, walaupun beliau pernah terlibat membantu
ibunya mengendalikan satu program anjuran pertubuhan itu. – BERNAMA