Penulis tidak bermaksud untuk menuding jari pada sesiapa dalam soal 20 perkara kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah yang ditimbulkan bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan PAS Kedah, Zulkifli Yahya.
Setelah menganalisis 10 perkara sebelum ini, penulis berpandangan bahawa penulisan Zulkifli di Harakahdaily itu hanya bersifat persepsi, separuh masak dan kurang neutral selain penuh berbaur politik.
Kata mudahnya, gaya penulisan itu lebih terdorong ke arah niat memburuk-burukkan dan bukan bersifat membina sebagaimana yang sepatutnya dilakukan oleh pembangkang yang sihat di negeri Kedah.
Berikut adalah kesinambungan 20 perkara tersebut.
11. GAGAL membuat keputusan yang wajar dalam isu mahkamah. Mukhriz telah membuat keputusan tidak wajar dalam isu pembalak menyaman anak syarikat kerajaan negeri, apabila bersedia menerima penyelesaian di luar mahkamah sekalipun kes tersebut hampis pasti dimenangi oleh pihak kerajaan negeri. Akibatnya kerajaan negeri kerugian RM2.5 juta.
Penulis tidak fikir Zulkifli berlatar belakangkan jurusan undang-undang dan yakin dia juga bukan merupakan seorang bekas Hakim Mahkamah atau mewakili Peguam Negara untuk memberi komen seumpama di atas berkenaan kes saman melibatkan anak syarikat kerajaan negeri dengan sebuah syarikat pembalakan.
Namun penulis yakin bahawa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mempunyai barisan peguam yang handal-handal yang diketuai oleh Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kedah.
Malah penulis yakin bahawa kes berkenaan dirujuk kepada mereka-mereka yang ahli dalam sudut perundangan oleh Mukhriz, bukan? Takkanlah beliau rujuk pada Mufti Kedah atau Pengurus Bola Sepak Kedah pula, kan?
Jadi, atas nasihat yang diberikan, adalah wajar untuk Mukhriz mendengar nasihat dari Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berbanding nasihat dari Zulkifli yang dipercayai tidak punya kreadibiliti dalam bidang undang-undang, bukan?
Apakah kerana hanya menang dalam kes saman sebelum ini maka Zulkifli menyifatkan sebagai pakar undang-undang dan mampu meramal keputusan hakim mahkamah? Dalam soal ini pada pandangan penulis, pihak yang tidak wajar sebenarnya ialah Zulkifli sendiri.
12. GAGAL mengurus sembilan buah Maktab Mahmud yang selama ini diurus oleh kerajaan negeri dengan menyerahkan kelolaannya kepada Kementerian Pelajaran dibawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Mukhriz mungkin ‘bijak’ kerana berjaya menyelamatkan duit negeri sebanyak RM26 juta yang selama ini membiayai Maktab Mahmud tersebut. Soalnya, ke mana perginya RM26 juta tersebut dan apakah nasib silibus Azhariah di Maktab Mahmud selepas ini?
Mulanya Zulkifli menuduh Mukhriz sebagai “gagal”, kemudian dia tuduh pula Menteri Besar kesayangan rakyat Kedah itu sebagai “bijak”. “Gagal” urus Maktab Mahmud dan “bijak” menjimatkan sebanyak RM26 juta wang rakyat Kedah?
Pada pandangan penulis, Mukhriz sememangnya bijak dari awal dalam soal yang dipertikai Zulkifli itu. Keputusan untuk menyerahkan kelolaan Ma’ahad yang menjadi kebanggaan rakyat itu kepada Kerajaan Pusat adalah satu tindakan yang sememangnya bijak.
Bukan saja menyelamatkan RM26 juta wang Kerajaan Negeri, malah duit rakyat itu boleh digunakan bagi menampung perbelanjaan kerajaan memberikan pembangunan yang dilupakan semasa PAS mentadbir negeri itu.
Malah tidak mustahil, wang itulah juga yang akan digunakan untuk membayar kembali hutang sebanyak RM300 juta yang dibuat oleh Kerajaan PAS Kedah sebelum ini untuk membina kampus KUIN di Kuala Ketil yang “separuh siap” itu.
Lagipun, bukan orang Kedah tidak tahu tentang personel-personel yang dilantik PAS Kedah di dalam Maktab Mahmud sebelum ini sememangnya mempunyai pertalian darah, keluarga, suami, isteri, anak menantu, ipar duai dan sebagainya. Cuma orang Kedah malas nak “bising” saja.
Untuk melihat kebijaksanaan Mukhriz yang seterusnya, Zulkifli perlu bersabar buat seketika kerana penulis percaya Menteri Besar itu sedang cuba untuk “mencuci bersih” salah urus tadbir Kerajaan PAS Kedah sebelum ini. Harap bersabar...
13. GAGAL meneruskan Skim Kafalah iaitu pemberian RM500 untuk keluarga si mati yang diperkenalkan semasa Pakatan Rakyat dahulu.
Skim Kafalah yang diperkatakan Zulkifli dalam perkara 13 di atas adalah salah satu program atau polisi yang dicipta oleh Kerajaan PAS Kedah sebelum ini. Di dalam asas pentadbiran awam, sesuatu program atau polisi kerajaan lama adalah bergantung pada budi bicara kerajaan baru.
Misalnya, polisi atau dasar pentadbiran kerajaan pimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah tidak sama dan berubah apabila Malaysia di bawah kepimpunan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Begitu juga dasar “pandang ke timur” yang pernah diperkenal oleh ayahanda Menteri Besar Kedah itu kini tidak lagi dipraktikkan secara serius di zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Malah dasar Islam Hadhari turut ditenggelami oleh populariti Gagasan 1Malaysia dan perkataan “Transformasi”.
Jadi, janganlah Zulkifli marah jika Skim Kafalah PAS Kedah itu tidak diteruskan. Dan bersyukur dan berterima kasihlah pada Mukhriz yang masih meneruskan kuliah agama di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon sebagaimana yang dimulakan oleh Allahyarham Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak dulu.
Susah sangatkah untuk berterima kasih?
14. GAGAL merealisasikan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi yang dicetuskan idea penubuhan dan pembinaannya oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan. Khabarnya projek tersebut dibatalkan terus. Mungkin kerana bagi Mukhriz pelaburan di bidang pendidikan adalah ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
Perkara ke-14 ini adalah lebih kurang serupa jawapannya dengan perkara ke-13 yang diperkatakan Zulkifli. Ia di dalam “buku” yang sama, cuma berlainan “bab” sahaja.
Jika perkara ke-13 membabitkan program, maka perkara ke-14 memlibatkan perlaksaan projek yang dicadangkan oleh Kerajaan PAS Kedah sebelum ini. Terserah pada budi bicara Kerajaan BN sekaranglah untuk teruskan projek itu atau tidak.
Kenapa Zulkifli “kalut” sangat jika projek berkenaan dibatalkan? Zulkifli ada “share” dalam projek tersebut, kah?
Lagipun, Exco berkaitan telah memberitahu sebelum ini bahawa projek berkenaan sedang dikaji dan sekiranya dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan di Pulau Tuba, berkemungkinan ia akan dilaksanakan di lokasi lain. Tidak puas hati lagi dengan jawapan itu, kah?
15. GAGAL meneruskan program pembinaan insan seperti Kem Anak Soleh, Kem Bina Saksiah dan Kem Belia Sejahtera yang diadakan semasa Pakatan Rakyat. Sekarang setiap cuti sekolah berlalu tanpa ada pengisian oleh kerajaan negeri.
Perkara ke-15 ini juga sama seperti perkara ke-13 dan ke-14 yang diketengahkan Zulkifli. Kem-kem tersebut adalah program yang tercipta oleh dasar Pas Kedah ketika mentadbir negeri Kedah dan terpulanglah pada budi bicara untuk diteruskan Kerajaan BN Kedah atau tidak.
Cuma penulis yakin bahawa sekiranya kem-kem tersebut diteruskan Kerajaan BN pun, peserta-peserta kem itu tidak akan dimomokkan dengan sentimen politik dan penyemaian benih-benih PAS di dalamnya sebagaimana yang dipraktikan di dalam PASTI selama ini.
Cukuplah ramai umat Islam yang berpecah belah akibat pertembungan politik asuhan PAS melalui program-program sedemikian. Meskipun nama-nama program yang disebut Zulkifli itu “sedap didengar”, adalah dikhuatiri program-program itu diselit sentimen yang tidak wajar di dalam pengisiannya, bukan?
Apatah lagi jika ia dikendalikan oleh “mubaligh-mubaligh” PAS, haru biru jadinya nanti, kan?
Akan bersambung lagi ke siri yang terakhir...-UtaraNews.com