Siti Saleha lebih selera "Mat Saleh", lelaki kacukan

Pelakon berdarah kacukan yang menjadi minat ramai, Siti Saleha mengaku bahawa dirinya lebih meminati jejaka berdarah kacukan sepertinya atau iras wajah "Mat Saleh".

Terkini, Siti Saleha yang mula dikenali ramai melalui drama bersiri, "Member ku Hawa", itu juga difahamkan sedang hangat menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang turut mempunyai darah kacukan.

Walau bagaimanapun, Saleha enggan mendedahkan nama kekasihnya kepada pihak media dan khalayak ramai buat masa sekarang.

“Sejujurnya, selera saya memang lebih kepada lelaki berdarah kacukan. Tapi itu tidak bermaksud saya tak pandang langsung lelaki tempatan,” katanya memetik laporan sebuah akhbar, baru-baru ini.

Selain itu, jika diperhatikan bekas-bekas teman lelakinya sebelum ini turut mempunyai darah kacukan, antaranya adik pelakon Sharifah Sofia, Syed Adney Syed Hussein dan Robin Coenraad.

Mengulas lanjut ciri-ciri yang menyebabkan dirinya jatuh cinta dengan jejaka yang bertaktha di hatinya kini, Siti Saleha mengatakan kekasihnya seorang yang penyayang dan matang selain mereka serasi di antara satu sama lain. 

Walaupun sudah bertemu jejaka idaman, namun aktres ini menegaskan dia masih belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga kerana usianya yang masih muda serta belum terfikir ke arah itu. -KedahNews.com