Pelbagai bantahan yang dibuat oleh pemimpin bawahan sehingga
menyebabkan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecoh merupakan
cerminan daripada keperibadian dan hasil didikan pemimpin utama mereka
yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad
Fairus Khairuddin berkata, PKR kini sedang menuai hasil daripada
contoh yang ditunjukkan Anwar apabila ahli-ahlinya turut dibakar dengan
sifat kebencian dan sentiasa tidak berpuas hati sekiranya keputusan yang
dibuat tidak seperti diharapkan.
Katanya, perjuangan menegakkan pluralisme agama dan liberalisme juga
menyebabkan ahli-ahli PKR tidak lagi berjuang berlandaskan jiwa Melayu
yang kaya dengan kesopanan sebaliknya mereka seolah-olah sudah tidak
bermoral apabila kerap menggunakan perkataan berunsur hasutan dan makian
terhadap sesama sendiri.
"Saya sentiasa memantau dan melihat perkembangan terkini parti
khianat rakyat itu, atas dasar mereka yang tidak memperjuangkan rakyat
jadi tidak hairanlah apabila kacau-bilau berlaku di peringkat pengurusan
bawahan.
"Atas nama kesaksamaan mereka sanggup berperang termasuk antara
rakan-rakan sendiri, parti itu semakin hilang pedoman dan hanya wujud
atas kepentingan Anwar yang cuba memecah-belah rakyat, jadi apa yang
berlaku ini adalah didikan Anwar," katanya yang juga bekas Setiausaha
Pembangunan Integrasi Nasional PKR ketika dihubungi Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Proses pemilihan PKR di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang
diisytihar sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula
antaranya di Pulau Pinang, melibatkan Cabang Nibong Tebal selepas timbul
dakwaan wujud pengundi hantu dalam pertandingan tiga penjuru merebut
jawatan pengerusi negeri.
Insiden di Pulau Pinang tidak hanya terhenti di situ kerana di Cabang
Balik Pulau, proses pengundian bertukar panas apabila perbuatan kempen
dan mencuri pengundi di bilik mengundi menimbulkan rasa tidak puas
hati para penyokong sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran yang
hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk.
Di Sabah, tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan
pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar
kecoh dan tidak terkawal menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR
cabang berkenaan, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat serta pemilihan
dibatalkan.
Sementara itu bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku
Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin PKR mencermin diri sendiri serta
melihat tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan selama ini dan
membandingkannya dengan situasi yang dihadapi sekarang.
Menurutnya, bukan sahaja PKR malah DAP juga sepatutnya malu dengan
insiden yang berlaku selepas rakyat kini dapat menilai sendiri kemampuan
pemimpin-pemimpin pembangkang yang sentiasa menganggap diri mereka yang
betul.
"Hakikatnya mereka terlalu cepat menuduh kerajaan, mereka suka sangat
menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai (SPR) sebagai menipu tetapi
akhirnya pemilihan parti yang kecil pun gagal diuruskan dengan baik.
"Sekarang mereka sudah tahu lebih mudah membuat tuduhan melulu tetapi
akhirnya sendiri gagal jadi saya nasihatkan supaya perbetulkan diri
sendiri dulu sebelum ambil tahu mengenai orang lain," katanya. -Utusan