Sudahlah 5 Beradik Hilang Ibubapa, Ibu Saudara Pula Difitnah Pihak Durjana...



SUNGKAI – Ibu saudara kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan Jumaat lepas, melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana terdapat pihak menabur fitnah bahawa keluarganya akan menghantar lima beradik itu ke rumah anak yatim dan mengambil semua duit sumbangan.

Junaida Mohd Zain, 42, berkata beliau meminta pihak berkenaan agar menghentikan segala fitnah yang disebarkan melalui laman sosial Facebook itu.

“Kami ada perasaan…jangan cakap macam tu, lima beradik ini adalah darah daging kami. Walau apa pun terjadi kami tak kan pisahkan mereka, kami adik  beradik boleh jaga mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di sini hari ini.

Seorang lagi ibu saudara lima beradik itu, Zainah, 44, mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang melakukan penipuan dengan meminta derma untuk lima beradik itu melalui Facebook.

“Kepada sesiapa yang mahu derma hubungi saya terlebih dahulu, jangan mudah percaya dengan kutipan derma di Facebook,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Sementara itu, Muhd Haikal Jefri, 16, berkata dia dan adik-adiknya akan terus tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan mereka akan dijaga oleh ibu saudara yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.

“Adik saya yang bongsu kadang-kadang merengek cari mak saya, dia kata mak dan ayah ada di sini,” katanya dengan sayu.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, juruteknik Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.

Pasangan itu meninggalkan lima anak – Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3. – BERNAMA