Syamsul Yusof kembali sebagai pengarah

Syamsul kembali mengarah!

Kuala Lumpur, 28 Mei – Pengarah Filem KL Gangster 2, Syamsul Yusof yang sebelum ini berhasrat untuk meninggalkan industri seni setelah kecewa filemnya itu dicetak rompak dalam Youtube sebelum ditayangkan di pawagam akan kembali mengarah bagi meneruskan legasi bapanya, Dato’ Yusof Haslam.

Sebelum ini, Syamsul dikatakan merajuk apabila filemnya itu dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan dia bertindak untuk mengasingkan diri dari seni hiburan kerana tertekan dengan kejadian yang pertama kali berlaku dalam sejarah perfileman negara.

Menurut Syamsul, isterinya yang juga merupakan seorang pelakon, Puteri Sarah telah berjaya mengubah pendirianya sebelum ini dan banyak memberi dorongan untuk memulihkan semangatnya untuk kembali mengarah.

“Isteri sayalah yang banyak bantu dan memberikan saya semangat supaya bertenang dan melupakan perkara lalu. Akhirnya, semangat saya pulih dan saya sudah bersedia mengarah filem dalam masa terdekat ini,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Ketika ini, dia sedang sibuk menyiapkan skrip filem berunsur seram yang berjudul Munafik setelah percubaannya dalam filem Khurafat berjaya jualan box office.

“Sekarang ni saya dalam proses akhir menyiapkan skrip. Saya juga masih dalam perancangan mencari pelakon sesuai untuk membintangi filem ini.

"Buat masa ini belum ada lagi yang tersenarai. Sebolehnya saya mahu cepat melakukan penggambaran, iaitu sebelum masuk bulan puasa,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Syamsul akan muncul dalam sebuah filem Abg Long Fadil arahan adiknya, Shafiq Yusof yang bakal ditayangkan pada 29 Mei ini. Dia akan memegang watak Shark sama seperti watak arahannya dalam KL Gangster 1 dan 2.

Filem arahan Shafiq itu turut dibintangi oleh Zizan Razak sebagai teraju utama dan dibantu oleh Aaron Aziz dan Sofi Jikan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor