Baru-baru ini KedahNews.com difahamkan bahawa penganut ajaran Syiah di Kedah bakal mengadakan perhimpunan secara besar-besaran pada 1 Jun ini di Kampung Alor Berala, Pendang, Kedah.
Menurut maklumat tersebut, perhimpunan tersebut akan diadakan bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah malam, diketuai oleh seorang individu yang pernah mendakwa dirinya "Ketua Syiah Kedah", Abdullah Hassan.
Abdullah kemudiaannya telah membuat satu laporan polis terhadap Mufti Kedah, Dato' Syeikh Muhamad Baderudin, atas dakwaan memfitnah, menghasut dan berbohong dalam kenyataannya mengenai fahaman Syiah.
Pada Ogos tahun lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah meluluskan sebuah rang undang-undang pindaan berkaitan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah yang difahamkan bertujuan bagi mengambil tindakan terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah di Kedah.
Meskipun rang undang-undang itu dibantah oleh 9 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili PAS, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan kelulusan enakmen yang disokong oleh 21 ADUN lain itu telah menyelesaikan masalah ajaran Syiah di negeri tersebut.
Kenyataan terkini tentang enakmen anti-Syiah dari Mufti Kedah menjelaskan bahawa pindaan rang undang-undang yang dikemas kini itu membolehkan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) mengambil tindakan terhadap pengikut dan penyebar fahaman yang difatwakan sebagai sesat itu.
Tindakan Kerajaan Negeri Kedah meluluskan enakmen yang disifatkan sebagai anti-syiah itu mendapat sokongan dari majoriti umat Islam dan ekoran itu kerajaan-kerajaan negeri lain turut mencontohi tindakan itu dengan mewujudkan undang-undang yang sama di negeri masing-masing.
Timbul persoalan tentang mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Abdullah yang terang-terangan mengaku dirinya sebagai Ketua Syiah Kedah dan para pengikutnya yang berani menonjolkan diri ketika melakukan laporan polis dan sidang akhbar selepas undang-undang anti-syiah itu diluluskan.
Apakah perhimpunan Syiah secara besar-besaran pada 1 Jun ini bakal bertukar menjadi "majlis penangkapan besar-besaran" para pengikut fahaman songsang tersebut oleh pihak berkuasa dan MAIK?
Kami juga difahamkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pendang akan membuat laporan polis dan sidang akhbar membantah perhimpunan Syiah yang didakwa bakal berlangsung pada 1 Jun ini. -KedahNews.com