Tak puas hati pada DAP, sertai PCM


Georgetown, 20 Mei – Calon Bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Dato’ Huan Cheng Guan menyeru kepada semua ahli DAP untuk keluar daripada parti berkenaan sekiranya mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin parti berkenaan.

Naib Presiden Parti Cina Malaysia (PCM) itu berkata, ahli DAP yang sudah keluar daripada parti berkenaan boleh menyertainya jika berminat untuk berbuat demikian.

Huan Cheng menyatakan keputusan DAP meletakkan calon muda untuk mewakili parti berkenaan ditentang hebat oleh akar umbi yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

"Saya harap mereka yang tidak berpuas hati dengan DAP supaya menyokong saya dan mereka mereka dialu-alukan menyertai PCM," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Island Glades di sini hari ini.

Dalam kempen bagi menghadapi PRK Parlimen Bukit Gelugor, dia mendakwa telah mendapat banyak sokongan daripada ahli DAP.

Menurutnya lagi, dia akan berusaha bagi menyelesaikan masalah keselamatan yang di hadapi oleh penduduk flet-flet disekitar Bandar Baru Air Itam yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka kerana kurangnya sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan kehadiran anggota polis.

"Saya akan membantu mereka untuk memasang lebih banyak CCTV di kawasan strategik dan juga meningkatkan kehadiran polis di kawasan itu jika saya menjadi MP (Ahli Parlimen) mereka," katanya lagi.

Dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor, Huan Cheng yang mewakili parti bebas akan menghadapi tentangan empat penjuru dari calon DAP, Ramkarpal Singh Deo dan dua lagi calon bebas, Abu Backer Sidek Mohammad Zan dan Mohamed Nabi Bux Abdul Sathar. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor